Terengganu sasar lima juta pelancong

Iklan
Ariffin (dua kiri) menyambut ketibaan penumpang Air Asia pertama, Ahmad Shauqi Yusof (kiri) yang masuk ke negeri ini melalui LTSM.

KUALA NERUS - Terengganu meletakkan sasaran lima juta pelancong pada tahun ini dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan bagi menyumbang kepada pencapaian sasaran tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, sasaran tersebut merupakan satu cabaran besar bagi kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sasaran itu adalah munasabah dengan adanya kerjasama semua pihak dan penglibatan duta pelancongan negeri, Muhammad Kareef Daniel Abdullah, 30, atau Mat Dan.

"Kita meletakkan matlamat yang tinggi dan sebab itu kita akan bergerak bermula Januari. Kita rancang sebaik mungkin.

Iklan

"Kalau semua pihak, pemain industri, kerajaan negeri, pejabat daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyokong di samping duta kita, saudara Mat Dan, kita akan mempromosi negeri tahun ini untuk mencapai sasaran," katanya.

Sebelum itu, beliau menyantuni ketibaan penumpang menaiki penerbangan pertama Air Asia sempena tahun baharu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Sulaiman Sulong dan ketua agensi kerajaan serta penggiat industri pelancongan.

Beliau berkata, 80 peratus sasaran itu akan ditumpukan kepada pelancong dalam negara manakala 20 peratus lagi kepada pelancong luar khususnya dari China dan Eropah.

Beberapa strategi juga sedang dirangka bagi mempromosi pulau-pulau peranginan negeri bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong dari luar negara sepanjang tahun ini.

"Kita ada kalendar pelancongan kita. Sebahagiannya kita ambil (bersempena) program tahun lepas dan kita akan rangka beberapa program lain.

"Contohnya kita mulakan dengan program hari ini," katanya.