SEBELUM ini, banyak perkongsian di media sosial tentang kuasa sedekah tatkala orang yang membantu itu pun dalam kesempitan.
Namun digagahkan juga bersedekah kerana memikirkan nasib orang yang lebih susah daripadanya, tetapi pengakhirannya, orang yang membantu tadi mendapat sesuatu atau rezeki lain yang tidak disangka-sangka.
Jika mengikut logik akal, tiada siapa sanggup memperjudikan nasib diri sendiri yang tidak diketahui lagi demi kelangsungan hidup orang lain.
Bayangkan, barangkali duit kita hanya berbaki cukup-cukup untuk mengisi minyak kenderaan sebelum sampai ke rumah, tetapi ada orang meminta bantuan kerana sudah beberapa hari tidak makan.
Namun kerana kasihan, kita berikan sebahagian wang yang ada kepada individu berkenaan.
Jika berada dalam situasi itu, yakinlah kepada ALLAH SWT dan percayalah ada ganjaran lain menunggu kita.
Bahkan, ganjaran itu pastinya berkali ganda jumlahnya.
Dalam sebuah hadis direkodkan daripada Abu Hurairah:"Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya:"Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?"
Rasulullah SAW menjawab: "Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu." (Riwayat al-Bukhari)
ALLAH SWT berfirman: "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH SWT mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah Ali 'Imran, ayat 133-134)
Usah resah meskipun ketika kesempitan kerana bersedekah sewaktu sempit itu adalah sebaik-baik perbuatan.
Biarpun jumlahnya sedikit, namun yang penting kita ikhlas dan reda.
Berserahkan kepada ALLAH dan mudah-mudahan kita akan memperoleh ganjaran selayaknya.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)