KERETA rosak atau tayar bocor? Jangan panik jika berdepan masalah itu ketika melalui rangkaian lebuh raya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).
Ini kerana syarikat konsesi itu mampu membantu pengguna dengan sekelip mata melalui rangkaian dua teknologinya yang bermutu tinggi.
Apa yang perlu dilakukan oleh para pengguna lebuh raya amat mudah sekali. Pertama, muat turun aplikasi mudah alih Prolintas dengan klik pada butang S.O.S untuk bantuan kecemasan tanpa perlu memaklumkan lokasi kejadian.
Kurang dari dua saat, maklumat kecemasan akan diterima pusat kawalan sebelum pasukan peronda yang ditugaskan terus bergegas ke lokasi dengan menggunakan Smart e-Bike.
Bercerita lanjut tentang kedua-dua teknologi berkenaan, Pengurus Besar Divisyen Perkhidmatan Korporat, Azhari Karim berkata, Prolintas merupakan satu-satunya entiti konsesi lebuh raya di Malaysia yang memperkenalkan aplikasi mudah alih cukup canggih bagi membantu pengguna lebuh raya itu.
"Aplikasi tersebut lebih mudah, cepat dan tepat untuk menunjukkan lokasi sebenar pengguna berada kerana apabila berlaku kecemasan, mereka hanya perlu memilih jenis kecemasan dalam aplikasi tersebut.
"Jangan bimbang jika tidak tahu lokasi spesifik kejadian kerana lokasi pemandu yang berada dalam kesulitan dapat dikesan secara automatik oleh peronda lebuh raya dengan syarat pengguna menghidupkan ciri GPS pada telefon pintar,” katanya kepada e-Trend dalam satu wawancara eksklusif di Pusat Operasi Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan, pasukan peronda akan sentiasa memantau dan bertindak dengan kadar segera apabila menerima isyarat S.O.S pada aplikasi mudah alih Prolintas.
"Contohnya, pengguna menghantar makluman melalui aplikasi Prolintas, pusat operasi atau pasukan peronda akan menghubungi pengguna dengan serta-merta dan akan memberikan bantuan pada kadar segera,” ujar beliau.
Menariknya lagi, aplikasi tersebut boleh diakses secara percuma melalui AppStore untuk pengguna iPhone atau iPad atau GooglePlay untuk pengguna peranti Android.
Langkah proaktif
Azhari menambah, inisiatif mewujudkan aplikasi itu merupakan salah satu pendekatan pihaknya mewujudkan komunikasi dua hala dengan para pengguna.
"Antara faedah lain yang boleh didapati melalui aplikasi mudah alih itu ialah orang ramai boleh menerima maklumat trafik dan perkhidmatan lain di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK),” katanya.
Teknologi itu ujar beliau merupakan sokongan tambahan kepada pelbagai saluran komunikasi lalu lintas Prolintas yang lain termasuk papan elektronik pelbagai pesanan, saluran media sosial seperti Twitter dan Facebook dan bantuan telefon kecemasan di lebuh raya kendalian Prolintas.
Kepada e-Trend, Azhari berkata, sebagai langkah ke hadapan, pihaknya juga merancang untuk untuk memperluaskan aplikasi itu di kawasan baharu termasuk lebuh raya yang kini sedang dalam pembinaan iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
Beliau menambah, aplikasi itu turut dijadikan sebagai platform untuk merangka program kesetiaan pelanggan dan pada masa sama, menambah baik sistem dan fungsi dalam masa terdekat.
"Misalnya seperti program ‘mendapat dan menebus mata ganjaran’ atau diskaun khas jika menggunakan aplikasi secara berterusan.
"Selain menjadi salah satu mekanisme terbaik untuk membantu pengguna, aplikasi tersebut akan memudahkan pihak Prolintas memaklumkan kepada pengguna mengenai promosi, pengumuman, kempen dan berita korporat syarikat,” katanya sambil menambah aplikasi tersebut turut memberi peluang kepada pengguna memberi maklum balas mengenai pengalaman menggunakan lebuh raya Prolintas.
Prolintas Smart e-Bike
Bagaimana pula dengan Smart e-Bike seperti yang diuar-uarkan tadi? Mengulas lanjut mengenai penggunaan teknologi kenderaan elektrik itu, Azhari menjelaskan, pihaknya telah melancarkan motosikal mesra alam tanpa penggunaan petrol, Smart e-Bike yang pertama di Malaysia.
"Terkini, Prolintas mempunyai sejumlah 18 motosikal elektrik yang dibeli daripada pengeluar motosikal elektrik tempatan.
"e-Bike itu yang dirujuk sebagai motosikal pintar akan digunakan di semua lebuh raya seperti AKLEH, GCE, LKSA dan SILK,” ujar beliau.
Inovasi tersebut juga antara lain katanya, sebagai sokongan terhadap agenda Prolintas yang cenderung ke arah penggunaan teknologi hijau dalam operasinya, selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau.
"Dengan adanya e-Bike ini, ia mampu melengkapkan keperluan pasukan peronda sekali gus meningkatkan kecekapan dan kekerapan rondaan. Kemudahan itu juga berupaya meningkatkan tahap keyakinan pengguna lebuh raya kami,” katanya.
Berdasarkan rekod, e-Bike mampu ditunggang sejauh lebih kurang 100 kilometer dengan sekali caj bateri penuh. Stesen pengecaj pula disediakan di setiap pusat operasi bagi memudahkan kekerapan rondaan pasukan.