Wawasan Kemakmuran Bersama: Bebas diskriminasi pasaran buruh

Iklan
Shamsuddin Barda

SHAH ALAM - Hasrat kerajaan memastikan pasaran buruh Malaysia bebas daripada diskriminasi umur, jantina, etnik dan agama menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama disambut baik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pihaknya tidak menafikan ada unsur berkenaan dalam sektor swasta.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, sudah ada akta berkaitan bagi memastikan majikan tidak melakukan diskriminasi berkenaan termasuk Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pekerja dan Akta Perhubungan Perusahaan.

Menyentuh soal peningkatan gaji dan hubung kait dengan produktiviti, sebagai majikan beliau berharap imbuhan sebagai tambahan pendapatan pekerja dapat diberikan selaras dengan peningkatan produktiviti.

Iklan

"Isu sekarang ialah gaji pekerja di negara tidak setimpal kerana hanya melihat kepada gaji pokok atau gaji permulaan. Kita perlu lihat itu hanyalah gaji permulaan dan ia tidak statik.

"Katakan ketika graduan mula bekerja, mereka akan diberikan gaji kira-kira RM2,200 dan selepas tempoh enam bulan syarikat akan melihat potensi yang ada pada pekerja berkenaan lalu diberi jawatan tetap dengan kenaikan kira-kira RM300.

Iklan

Menurutnya, situasi menang-menang antara pekerja dan majikan perlu berlaku kerana syarikat tidak boleh menaikkan gaji pekerja jika produktiviti syarikat tidak meningkat.

Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, jika kerajaan berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan beberapa cara boleh diambil antaranya menggalakkan majikan melabur dalam teknologi baharu yang lebih produktif.

"Pekerja tempatan sedia ada dilatih semula dan diberi kemahiran baharu. Kemahiran ini hendaklah disijilkan supaya mereka dibayar gaji berdasarkan kemahiran. Jika berjaya ditingkatkan sudah pasti produktiviti tinggi dan tidak perlu mengambil pekerja asing," katanya.

Bagaimanapun katanya, pekerja asing dalam sektor perladangan sukar diberhentikan.

"Kita perlu perkenalkan cara bekerja baharu sebagai contoh dalam sektor pembersihan. Jika syarikat mampu membeli mesin automatik untuk membersihkan jalan dan meminta pekerja tempatan melakukan pekerjaan itu, mereka akan lebih gembira kerana boleh dilakukan secara bersendirian untuk kawasan luas," katanya.

Jelas beliau, pengaliran ringgit ke luar negara dalam kadar tinggi berkait rapat dengan jumlah pekerja asing di negara ini dan ia bukan sesuatu yang bagus.

"Secara rasmi sebanyak RM30 bilion wang dihantar keluar negara. Itu angka rasmi tetapi secara tidak rasmi ia mungkin kira-kira RM70 bilion. Justeru, kita berharap pekerja tempatan bekerja dalam sektor-sektor yang dimonopoli warga asing ini kerana kuasa membeli dalam negara mampu meningkatkan ekonomi Malaysia.

"Selain itu, wanita yang kini bergelar suri rumah juga digalakkan bekerja kerana berdasarkan kepada laporan Bank Dunia. Kumpulan ini mampu menyumbang sebanyak RM20 bilion setahun kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK)," katanya.

Shamsuddin berkata, berdasarkan data, sumbangan gaji pekerja di Malaysia kepada KDNK sekitar 30 peratus dan masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju.

"Ia sepatutnya ditingkatkan kepada 40 peratus daripada nilai pendapatan keseluruhan. Peningkatan ini akan menjadikan kegiatan ekonomi rancak kerana rakyat mempunyai kuasa membeli yang besar," katanya.