Penjual buah maut dalam nahas tiga kenderaan

Iklan
Keadaan motosikal mangsa di lokasi kejadian. - Foto Ihsan PDRM

DUNGUN - Seorang penjual buah maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 86 Jalan Jerangau - Jabor di Kampung Dendang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Zulkefli Othman, 33, dari Felda Kerteh 06, Ketengah jaya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal ditunggang mangsa jenis Yamaha Sports 110 SS dan dua buah kereta iaitu jenis Mercedes Kompressor dan Perodua Axia.

Katanya, semasa di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Jabor menuju ke Jerangau dipercayai terlanggar bahagian sisi sebelah kiri Perodua Axia dari arah bertentangan.

Iklan

"Difahamkan ketika itu pemandu wanita berusia 30 tahun masuk ke simpang sebelah kiri mangsa menyebabkan dia terpelanting ke sebelah kanan.

"Kemudian mangsa dilanggar pula kereta Mercedes Kompressor dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun yang datang dari arah Jerangau menghala ke arah Jabor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Abd Razak berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi manakala pemandu kedua-dua kenderaan dan seorang penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan," katanya.