MARANG - Kecurian harta benda penyumbang utama peningkatan sebanyak 13 peratus indeks jenayah di Terengganu dalam tempoh Januari sehingga semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, dalam tempoh itu sebanyak 1,445 kes dicatat tahun ini berbanding 1,314 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 131 kes.
"Kecurian harta benda termasuk jenayah ragut, samun dan kecurian kabel,tetapi kecurian motosikal yang menjadi antara penyumbang peningkatan indeks jenayah sebelum ini sudah berjaya dikurangkan.
"Saya percaya penurunan kes curi kenderaan yang berjaya dicapai adalah hasil pendekatan operasi dan hubungan baik dengan masyarakat yang dijalankan secara serentak," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Marang daripada Pemangkunya, Deputi Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar kepada Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.
Jelasnya lagi, pihaknya akan meneruskan program melibatkan masyarakat terutama dalam usaha menurunkan indeks jenayah di samping memberi kesedaran kepada masyarakat.
"Selain itu orang ramai diseru bersama-sama membantu polis dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan terjamin dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang jenayah," katanya.
Dalam perkembangan lain Aidi berkata, gejala rempit berjaya dikurangkan dengan adanya operasi dan pemantauan berterusan terutama di lokasi tumpuan.
"Kita sudah mengenalpasti serta membuat rondaan di semua lokasi tumpuan terutama pada hari minggu.
"Alhamdulillah, gejala rempit ini sudah dikurangkan dan mereka tidak lagi berleluasa seperti sebelum ini," katanya.