KUALA LUMPUR - Seramai 23,773 individu yang dilaporkan hilang pekerjaan menerima manfaat sebanyak RM65.1 juta menerusi skim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemberian faedah skim itu adalah jumlah keseluruhan perbelanjaan yang dikeluarkan Perkeso sejak SIP dilaksanakan pada Januari 2018 hingga 13 September lalu.
Menurutnya, semua penerima skim itu merupakan pekerja yang mencarum dengan SIP dan memenuhi kelayakan untuk mendapat faedah caruman tersebut.
Katanya, selain menerima bantuan menerusi skim tersebut, individu terbabit turut dibantu dari segi latihan dan mendapatkan pekerjaan baharu.
"Menerusi sambutan Hari Perkeso yang diadakan hari ini (semalam), kita sediakan banyak reruai untuk membantu mereka mendapatkan maklumat berkaitan termasuk peluang pekerjaan.
"Sebagai contoh, kita ada reruai khas iaitu 'mini job hunt' yang menawarkan sebanyak 1,133 kekosongan daripada sektor perkhidmatan, perhotelan, peruncitan dan pembuatan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perasmian Sambutan Hari Perkeso 2019 ke-48 di Menara Perkeso di sini.
Terdahulu, beliau menyampaikan faedah SIP peringkat pertama kepada seramai 16 kakitangan Kumpulan Media Karangkraf yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mahfuz berkata, kini banyak syarikat di Malaysia yang mengecilkan operasi dan saiz tenaga kerja untuk mengekalkan daya saing termasuk industri media.
"Saya bersimpati dan berharap mereka yang terlibat dapat memanfaatkan kemudahan yang ditawarkan Perkeso menerusi SIP," katanya.
Sementara itu, Mahfuz berkata, setakat ini lebih tujuh juta rakyat Malaysia telah mencarum dengan Perkeso dan setakat Jun lalu, sebanyak RM2 bilion dibelanjakan untuk membayar faedah kepada orang berinsurans serta orang tanggungan mereka.
Menurutnya, kerajaan menerusi Perkeso turut merancang memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada suri rumah dan 18 industri informal melibatkan subsektor, antaranya pertanian, perhutanan, perkilangan dan perlombongan termasuk industri seni yang akan diperluaskan dari masa ke masa.
"Terdapat beberapa semakan perlu dibuat dan kita hanya menunggu kelulusan Kabinet untuk melaksanakan perkara ini segera," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahfuz turut mengingatkan individu yang mencari pekerjaan supaya tidak terlalu memilih.
"Tak perlu tunggu pekerjaan yang sesuai dengan disiplin ilmu yang mereka pelajari di universiti. Mana yang dapat dulu agak berpadanan dengan tawaran yang diberikan untuk mereka bekerja, seharusnya mereka terima," katanya.