SEOUL - Pasukan tarian Malaysia yang diwakili 26 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul naib juara keseluruhan pertandingan yang diadakan pada Festival Tarian Sedunia Cheonan 2019 di sini yang berakhir malam tadi.
Lebih membanggakan apabila pasukan daripada universiti itu juga muncul juara bagi kategori pakaian terbaik, tempat kedua bagi pertandingan tarian menghibur dan tempat ketiga bagi kategori solo dan duet.
Pensyarah pengiring pasukan itu, Dr Colleen Wong yang juga Ketua Jabatan Seni Persembahan UPSI berkata, kejayaan itu sangat membanggakan kerana Malaysia muncul terbaik dalam kalangan pasukan antarabangsa dari 17 negara, yang kebanyakannya dibarisi penari profesional.
"Saya bangga dan bersyukur kerana semua penari kita walaupun masih pelajar, sangat komited dan telah memberikan persembahan yang terbaik demi Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Persembahan Malaysia di peringkat akhir pertandingan yang disaksikan ribuan penonton di bandar raya Cheonan di samping disiarkan secara langsung melalui televisyen di negara ini mengetengahkan tarian etnik Bidayuh Sigar Nyikuh Jojak iaitu tarian kesyukuran pesta menuai.
Sepanjang tiga hari festival berlangsung, pasukan Malaysia mempersembahkan tujuh tarian termasuklah ‘tarian tempurung’, ‘inang lenggang kangkung’, ‘kukuda’ dan ‘joget lambung sayang’ dengan pakaian tradisional berwarna-warni.
Dr Wong juga berterima kasih kepada dua lagi pensyarah UPSI iaitu Abdul Hamid Chan selaku koreografer dan Hafzan Zannie Hamza yang membantu dalam persiapan pasukan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Festival Tarian Antarabangsa (FIDAF) Malaysia, Mohamad Noor Rosli Baharom berkata, pencapaian Malaysia membanggakan kerana dalam merebut tempat kedua keseluruhan mereka mengalahkan pasukan profesional.
"Antaranya ialah pasukan dari Eropah dan Amerika Latin serta Asia yang sudah berpengalaman membuat persembahan di pentas antarabangsa,” katanya yang turut hadir di sini bagi memberi sokongan moral dan motivasi kepada pasukan Malaysia.
Bagi anugerah pakaian terbaik pula, katanya, pasukan UPSI berjaya menampilkan kekayaan khazanah pelbagai etnik Malaysia yang menarik perhatian ramai di sini.
FIDAF Malaysia mengucapkan syabas kepada UPSI kerana telah memberi sokongan dan komitmen yang tinggi untuk membuat persiapan rapi bagi membolehkan pelajarnya mewakili negara. - Bernama