JAKARTA - Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia meminta rakyat Malaysia yang berada di Jakarta mengelak atau menjauhi kawasan-kawasan yang dirancang berlakunya demonstrasi besar-besaran hari ini.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia meminta semua rakyat Malaysia yang berada di sini untuk mematuhi setiap arahan yang keluarkan pihak berkuasa.
"Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan di Indonesia, boleh menghubungi talian +6281380813036," kata kenyataan tersebut.
Menurut laporan media tempatan yang memetik kenyataan Badan Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEMSI), mereka merancang untuk mengadakan lagi demonstrasi besar-besaran petang ini di hadapan bangunan Parlimen, Jalan Gatot Soebroto, dan Istana Negara di Jalan Merdeka Utara.
Ia susulan beberapa siri demonstrasi sebelum ini oleh golongan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu sebelum ini menjelang majlis angkat sumpah Anggota Parlimen Indonesia untuk penggal 2019-1024 hari ini.
Proses atau upacara mengangkat sumpah 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat bermula jam 10 pagi tadi selesai sepenuhnya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (waktu Indonesia Barat).
Turut mengangkat sumpah adalah 136 anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan 711 anggota Majlis Perwakilan Rakyat.
Kawasan sekitar parlimen Indonesia di Jalan Gatot Soebroto Senayan itu turut dikawal ketat oleh lebih 20,000 anggota pasukan keselamatan manakala jalan-jalan di sekitar kawasan bangunan parlimen atau menghala ke Parlimen turut ditutup. - Bernama