KUALA TERENGGANU - Permohonan anak tanpa kerakyatan untuk mendaftar di sekolah kerajaan di negeri ini menunjukkan peningkatan ketara.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, sehingga hari ini sebanyak 181 permohonan diluluskan berbanding hanya 34 yang diluluskan dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 194 jumlah permohonan yang diterima sehingga kini melibatkan 171 murid untuk ditempatkan di sekolah rendah manakala 63 di sekolah menengah.
"Daripada jumlah permohonan diterima, sebanyak 13 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu ibu bapa dan kanak-kanak pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
"Dua lagi sebab ialah ibu bapa bukan warganegara iaitu memiliki pas kerja sementara serta gagal mengemukakan hubungkait ibu bapa atau penjaga (warganegara) dengan kanak-kanak bukan warganegara,” katanya ketika ditemui di One Stop Centre penerimaan masuk murid bukan warganegara 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Shafruddin berkata, peningkatan permohonan diterima ekoran kesedaran ibu bapa penjaga kanak-kanak berkenaan mengenai peluang untuk belajar di sekolah kerajaan setelah pengumuman mengenainya dilakukan.
"Mereka sebenarnya cakna dengan pengumuman yang dibuat pihak kementerian, dan ada kesedaran untuk menghantar anak mereka bersekolah di sekolah kerajaan.
"Sebenarnya sebelum ini syarat yang sama juga ditetapkan, cuma terdapat kelonggaran dari segi dokumen yang ditetapkan bagi permohonan bersyarat. Ini membolehkan lebih ramai dalam kalangan mereka bersekolah berbanding tahun sebelum ini,” katanya.