BEIJING - Seorang lelaki di China yang melarikan diri dari penjara selama 17 tahun akhirnya diberkas pihak berkuasa selepas rakaman dron mendedahkan tempat tinggalnya di dalam sebuah gua dekat lereng bukit terpencil.
Song Moujiang, 63, dipenjarakan atas kesalahan menyeludup wanita dan kanak-kanak bolos dari kem penjara di wilayah Sichuan pada Mac 2002.
Menurut pihak berkuasa, mereka pernah mendapat petunjuk bahawa Moujiang mungkin bersembunyi di kawasan pergunungan di belakang perkampungannya di Yongshan County.
Bagaimanapun, usaha mencari berdepan kesukaran susulan lokasinya di lereng curam dan bentuk muka bumi yang berbatu.
Polis membuat keputusan untuk menggunakan dron bagi menjalankan usaha mencari.
Pada pagi 19 September lalu, tempat persembunyian banduan yang bersaiz kurang 21 kaki persegi itu ditemukan dan selepas lebih sejam berjalan kaki polis berjaya sampai ke 'rumah' Moujiang.
Ketika penahanan dibuat, Moujiang menagaku lari dari penjara dan mengelak daripada ditangkap selama 17 tahun.
Sepanjang lelaki itu tinggal di dalam gua, dia menggunakan botol plastik untuk mendapatkan air dari jurang berhampiran. - Agensi