Al-Quran 100 tahun berciri ukiran Melayu tradisional

Iklan
Norhaiza menunjukkan Al-Quran tertua miliknya yang dipamerkan Pameran Iluminasi dan Warkah Emas Diraja Terengganu di Muzium Negeri Terengganu baru-baru ini. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Siapa sangka, naskhah al-Quran yang dikatakan paling unik di dunia dan berusia lebih 100 tahun dengan ciri ukiran Melayu Terengganu hanya tinggal dua naskhah dan kini disimpan di Muzium Terengganu.

Senaskhah dimiliki pihak muzium manakala satu lagi kepunyaan seorang pengukir yang membelinya daripada seorang peniaga bukan Islam pada 2003 semata-mata kerana tidak mahu ia ‘pergi’ jauh dari negeri ini.

Iklan
Iklan

Norhaiza Nordin, 56, berkata, beliau sanggup membelanjakan RM40,000 untuk al-Quran itu dan baginya tarikan utama ialah pada pelbagai ukiran berwarna emas di setiap helaian yang nampak seakan-akan seni ukiran Terengganu.

"Sebenarnya saya tidak mempunyai wang tetapi entah macam mana tiba-tiba saya dibayar atas hasil kerja sudah lama tertangguh, tanpa disangka saya memilikinya (al-Quran) selepas pelanggan saya membuat pembayaran dua hari sebelum tarikh akhir yang dijanjikan kepada peniaga terbabit.

Iklan

"Setelah diamati motif iluminasi (ragam hias) yang terdapat pada setiap helaian al-Quran ini, didapati ia mempunyai ciri-ciri sama dengan ukiran terdapat di hulu keris dan ukiran Melayu negeri ini,” katanya.

Naskhah al-Quran yang dikatakan wujud di antara 1820-an hingga 1850-an itu pernah dipinjamkan kepada Muzium Terengganu untuk dipamerkan menerusi Pameran Iluminasi dan Warkah Emas Diraja Terengganu, bulan lalu.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya sebagai pengukir ukiran kayu halus dan juga seorang ilustrator dalam lukisan teknikal, hiasan serta kontekstual, setiap ragam hias itu memerlukan masa lebih tiga bulan bagi setiap helaian untuk siapkan.

"Saya tidak pasti bagaimana tekunnya pengukir al-Quran ini apatah lagi ia dilakukan sepenuhnya secara manual malah seni ukirannya begitu halus dengan menggabungkan warna-warna yang menarik.

"Ketika itu belum ada mesin pencetakan, namun entah bagaimana penggunaan warna boleh dilakukan hingga sekarang ini warna-warna yang menghiasi ragam hias ini masih belum dapat dipastikan bahan-bahannya oleh pakar yang ada.

"Contohnya penggunaan warna biru, berkemungkinan warna itu dihasilkan menggunakan lapis lazuli yang diperolehi dari Afghanistan,” katanya.

Anak jati Kampung Raja, Besut itu berkata, ukiran ragam hias yang diperlihatkan di naskhah al-Quran itu melambangkan ketinggian darjat al-Quran dan kesenian Melayu Terengganu yang tidak dapat diperoleh pada masa kini.

"Saya percaya pada suatu masa dahulu Terengganu mempunyai pusat penghasilan al-Quran tapi tidak dapat dipastikan kesahihannya dan agak menghairankan kenapa penghasilan al-Quran seperti itu diberhentikan.

"Demi memastikan ‘harta’ berharga ini dapat dilihat bersama, saya selalu meminjamkannya kepada mana-mana pakar manuskrip untuk dibuat kajian dan berharap seni yang terdapat pada naskhah ini dapat dihasilkan kembali," katanya.

Norhaiza berkata, walaupun ada pihak yang cuba membuat tawaran untuk membeli naskhah itu, beliau terpaksa menolaknya atas alasan tersendiri.

"Bukan kerana harga yang ditawarkan murah menyebabkan saya menolak tawaran itu tetapi ia lebih kepada atas dasar tanggungjawab untuk terus menjaga khazanah negara ini dan ia adalah kebanggaan saya,” katanya. - Bernama