KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula 12 individu yang ditahan bagi siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim sekiranya ada petunjuk baharu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya tidak pernah menghentikan siasatan terhadap kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Dalam kejadian itu seramai 12 individu ditahan berhubung insiden terbabit dan semuanya telah dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kalau ada keterangan lain yang menyokong untuk kita panggil semula 12 individu ini kita akan panggil. Kita akan teruskan siasatan seperti mana keputusan mahkamah koroner sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Dalam pada itu ketika diminta mengulas berhubung persoalan ahli politik pembangkang sama ada terdapat antara individu terbabit masih berada di dalam negara atau sebaliknya, Mior Faridalathrash berkata, siasatan menunjukkan tiada keterangan jelas yang mengaitkan mereka dengan kejadian.
Katanya, tiada isu mereka mahu lari ke luar negara atau sebagainya namun siasatan tetap diteruskan seperti yang sudah diputuskan Mahkamah Koroner yang mengatakan dua orang atau lebih terbabit dalam kejadian berkenaan.
Pihaknya berharap semua pihak berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan kerana penjelasan siasatan sudah dijelaskan.
"Bila siasatan telah selesai kita akan serahkan kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.
Pada 1 April lalu, saksi inkues ke-28, Pegawai Penyiasat Kanan Polis, Asisten Superintendan Lew Keng Joe berkata, enam tangkapan pertama termasuk saksi prosiding inkues Nasaruddin Abdullah yang berada di sekitar lokasi kejadian, baki enam lagi adalah individu dipercayai terbabit kes pecah bangunan One City, tetapi ditahan semula bagi membantu siasatan kes Muhammad Adib.
Bagaimanapun semua suspek yang dibebaskan dengan jaminan polis dan bon jaminan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah putuskan Adib dipukul sekumpulan lelaki
Pada Jumaat lalu Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan Kuil Sri Maha Mariammam USJ 25 Subang Jaya.
Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham Mohd Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: JBPM mahu pelaku diheret ke muka pengadilan