SHAH ALAM – Rata-rata netizen memuji cara pihak Domino’s Pizza yang tampil dengan satu video permohonan maaf kepada seorang pelanggan mereka selepas didakwa membuat pesanan menggunakan hack atau glitch untuk mendapatkan pesanan murah.
Dalam kejadian minggu lalu Zacky Khairudean turut disoal siasat polis gara-gara membuat pesanan 10 set makanan termasuk piza menggunakan kupon diskaun yang dibelinya di sebuah platform atas talian.
Bagaimanapun, pihak Domino’s Pizza telah memohon maaf kepada lelaki tersebut melalui Facebook rasmi Domino’s Pizza, namun permohonan maaf tersebut dikatakan tidak ikhlas dan dipertikaikan oleh netizen.
Oleh itu, pihak Domino’s Pizza sekali lagi tampil dengan satu video permohonan maaf yang baharu.
Dalam video tersebut Timbalan Presiden Domino’s Pizza, Shamsul Amree menjelaskan situasi sebenar kejadian berkenaan.
Menurutnya, pihak Domino’s Pizza telah berjumpa dengan Zakry Khairudean dan memohon maaf serta menjelaskan perkara tersebut.
"Saya ingin menjelaskan situasi terkini apa yang telah berlaku minggu lepas di mana Domino’s Pizza membuat laporan polis terhadap pelanggan kami Zacky Khairudean.
"Terlebih dahulu saya bagi pihak Domino’s ingin memohon maaf secara ikhlas kepada Encik Zacky terhadap apa yang beliau lalui. Laporan polis terhadap (encik) Zacky tidak sepatutnya berlaku, ia dibuat secara tergesa-gesa kerana dalam masa yang pendek, restoran kami menerima pesanan bukan dari kebiasaan dalam jumlah yang banyak. Ini menyebabkan pesanan Zacky dicurigai.
"Kami sedar bahawa laporan polis tidak perlu dibuat pada masa itu sekiranya pihak kami berbincang terlebih dahulu dengan Zacky tentang pesanan beliau,” katanya dalam video berkenaan.
Dalam video itu juga beliau turut meminta maaf kepada semua pelanggan Domino’s Pizza.
"Laporan polis terhadap Zacky telah ditarik balik dan kami memohon maaf kepada Zakcy dan pelanggan-pelanggan Domino’s yang kecewa dengan apa yang telah berlaku.
"Ini telah memberi pengajaran berguna kepada kami dan kami akan memperbaiki kesilapan ini untuk masa hadapan,” katanya.
Video berkenaan tular di laman sosial dan mendapat pujian daripada netizen.
Salah seorang netizen, Atiqah Natasha berkata,"Terbaik dominos. Saya sebagai bekas staf sambilan yang selalu ambil order online (pesanan atas tailian) pelanggan dominos, sangat-sangat menghargai permohonan maaf anda. Betula la, sejuta kebaikan yang kita buat tidak akan padamkan satu keburukan yang kita lakukan. Keep improve your quality and service (Terus tingkatkan kualiti dan perkhidmatan anda,” katanya.
Pendapat sama turut dikongsi pemilik Facebook, Junaidatul Al-Fatiah Elias,"Saya amat faham akan perkara ini berlaku sebab saya juga bekerja di bahagian khidmat pelanggan. Sejuta kebaikan yang dibuat tidak mudah dipadamkan dengan satu kesalahan. Semoga semua pihak yang terlibat mengambil pengajaran atas apa yang terjadi,” katanya.
Bagi pemilik Facebook, Zamri pula berkata,"Alhamdulillah. Bagus la tu. Mengaku kesilapan dan memohon maaf. Cuma hendak pesan supaya Domino’s Kangar meletakkan staf yang cekap di bahagian hadapan supaya dapat memberi maklumat yang tepat kepada pelanggan,” katanya.