KUANTAN - Sebanyak 345 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan melibatkan pengubahsuaian yang tidak mematuhi spesifikasi dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 57 tangkapan terhadap penunggang mengikut Seksyen 42(1) Akta pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, selain itu motosikal disita mengikut Seksyen 60 APJ 1987 dan tangkapan ke atas penunggang atas kesalahan menunggang secara berbahaya dan melulu itu dilakukan hasil tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan samseng jalanan di negeri ini dalam tempoh sembilan bulan.
"Tindakan penguatkuasaan terhadap motosikal yang diubah suai dijalankan secara berterusan begitu juga dengan operasi membanteras samseng jalanan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kamarulzaman berkata, walaupun tindakan berterusan diambil, isu itu seolah-olah tiada kesudahan apabila kumpulan samseng jalanan yang menggunakan motosikal yang diubah suai silih berganti.
Beliau berkata, agak mendukacitakan apabila penunggang yang pernah dikenakan tindakan masih berdegil dan mengulangi kesalahan yang sama.
Kamarulzaman berkata, motosikal yang disita mengikut Seksyen 60 APJ 1987 akan diserahkan balik kepada pemilik selepas mereka datang ke balai untuk mengubah kenderaan itu kepada asal.
"Bagaimanapun bagi kes-kes pengubah suai keterlaluan, motosikal berkenaan akan dirujuk kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut termasuk kemungkinan dilupuskan sekiranya motosikal tersebut tidak layak berada di atas jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga turut melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas ke bengkel yang menyediakan khidmat pengubahsuaian motosikal bagi membendung kegiatan ubah suai motosikal yang tidak dibenarkan.
"Operasi biasanya dijalankan bersama bahagian siasatan jenayah yang fokus kepada mengesan motosikal curi dan penjualan alat ganti ‘panas’.
"Masalahnya aktiviti ubah suai motosikal dilakukan di bengkel haram dan mekanik persendirian menyebabkan kita sukar untuk membuat pemantauan,” katanya.
Sementara itu Kamarulzaman berkata, pihaknya sentiasa memantau lokasi yang menjadi tumpuan samseng jalanan di Pahang.
"Kita mengenal pasti 18 port samseng jalanan yang aktif di negeri ini termasuk di Kuantan, Temerloh dan Maran.
"Antara lokasi di Kuantan termasuk di Tanjung Lumpur, Pantai Sepat dan Jalan Pintasan Kuantan namun kumpulan samseng jalanan ini sentiasa mengubah lokasi bila lokasi sedia ada digempur pihak berkuasa,” katanya.