SYDNEY - Seorang remaja Australia didakwa menyebabkan kematian 20 ekor kanggaru apabila dengan sengaja merempuh haiwan berkenaan menggunakan trak dalam insiden tragik yang berlaku selama kira-kira satu jam.
Kesemua kanggaru yang mati termasuk dua anak kanggaru ditemukan bergelimpangan di jalan raya Tura Beach kira-kira 450 kilometer selatan Sydney pada pagi Ahad lalu.
Iklan
Iklan
Menurut kumpulan penyelamat hidupan liar WIRES, sekurang-kurangnya tiga anak kanggaru kehilangan ibu susulan insiden terbabit.
Polis berkata, pemuda berusia 19 tahun itu telah ditahan dan didakwa melakukan kekejaman terhadap haiwan.
Difahamkan lelaki terbabit melanggar kesemua kanggaru berkenaan menggunakan kenderaan utiliti miliknya lewat malam Sabtu lalu.
"Kami memandang serius insiden seperti ini dan sesiapa yang terlibat akan berdepan undang-undang," kata Ketua Inspektor Bega Valley, Peter Volf.
Meskipun kematian kanggaru di tepi jalan sering berlaku di New South Wales, lokasi kira-kira 90 peratus kemalangan kereta berlaku disebabkan pelanggaran dengan haiwan terbabit namun insiden yang disengajakan ini mengejutkan penduduk tempatan. - AFP