MELAKA TENGAH - Kementerian Industri Utama komited melakukan pelbagai usaha bagi memastikan harga sektor komoditi minyak sawit terus meningkat.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, ia perlu diberikan tumpuan utama kerana harga komoditi penting dalam pembangunan pertanian negara dan menyumbang kepada faktor peningkatan pendapatan ekonomi.
Menurutnya, antara langkah yang akan dilaksanakan adalah memperkenalkan Kempen Rakyat Malaysia Sayangi Kelapa Sawit yang akan disempurnakan Menteri Industri Utama, Teresa Kok supaya setiap rumah di negara ini mempunyai bekalan minyak sawit sekaligus impaknya dapat memberikan pulangan positif terutama kepada pekebun-pekebun kecil.
"Dalam masa sama, kita akan meneruskan kesinambungan aktiviti perdagangan minyak sawit di seluruh dunia terutama di pasaran baharu dengan pendekatan fokus kepada negara-negara yang mampu memberikan tindak balas positif dalam industri ini.
"Tahun 2019, kita berdepan cabaran besar dalam mempergiatkan lagi aktiviti menjual dan mempromosikan minyak sawit, namun kita mempunyai peluang cukup luas untuk menjayakan program Biodiesel B10 bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik,” katanya.
Jelasnya, kementerian juga akan terus melakukan hubungan dengan pemegang taruh dalam industri sawit termasuk dari atas hingga pekebun-pekebun kecil agar mereka dapat bertahan dan memahami kementerian sentiasa bersama mereka.
Beliau berkata demikian selepas program menyantuni penghuni Pusat Jagaan Kanak-kanak Terencat Akal sempena tahun baru di Bukit Baru, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya ini berkata, komitmen kementerian untuk membantu tidak hanya tertumpu kepada komoditi minyak sawit, malah pekebun kecil bagi pertanian getah, koko dan sebagainya.