Budak maut disiram air panas

Iklan
Gambar hiasan

ARIZONA - Seorang budak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas bapanya didakwa mencurahkan air panas ke dalam tekak kanak-kanak itu kononnya untuk mengusir makhluk halus.

Ketika ditahan, Pablo Martinez, 31, mengaku melakukan perbuatan kejam itu di rumahnya Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Martinez, dia mula mengesan kehadiran makhluk halus di dalam badan anaknya sejak seminggu lalu.

Katanya, ketika kanak-kanak berkenaan sedang mandi dia mendakwa dapat melihat makhluk tersebut.

Iklan

"Suspek berasakan perlu mengusir semangat jahat itu. Dia menyiram anaknya dengan air panas selama lima hingga 10 minit," lapor penyiar televisyen KGUN memetik suspek sebagai berkata.

Sementara itu, isteri Martinez dan ibu angkat mangsa, Romelia Martinez berkata, dia bergegas ke bilik air selepas mendengar bunyi bising dan terkejut melihat suaminya memegang kanak-kanak malang terbabit di bawah pancuran air panas.

Iklan

Wanita itu kemudiannya menghubungi talian kecemasan sementara suaminya menyiram air sejuk di badan anaknya dan cuba melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Mangsa dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia dengan 15 peratus kesan melecur pada badannya.

Difahamkan, suspek didakwa melakukan pembunuhan darjah pertama. - Agensi