SUNGAI BULOH - Bertugas pada lewat malam adalah perkara biasa namun menjadi luar biasa apabila secara tiba-tiba terdengar bunyi kerusi bergerak, komputer tiba-tiba bercahaya dan bunyi mesin fotokopi.
Adakah anda pernah alaminya? Bagi pekerja di sebuah pejabat di Sungai Buloh itu antara gangguan yang sering dialami mereka jika bekerja lewat malam.
Perkongsian beberapa video oleh Zakuan Zaidi, 30, di Twitter membuktikan gangguan atau mistik itu benar berlaku di pejabat isterinya bertugas.
Pada awalnya, dia sekadar mendengar luahan isterinya berkaitan gangguan yang sering dialami oleh rakan sekerja.
"Isteri ada beritahu tempat kerjanya agak ‘keras’, sesiapa yang bekerja balik malam, tentu kena kacau.
"Pekerja Bangladesh pun takut untuk membuat kerja lebih masa sehingga lewat malam melainkan keadaan memaksa sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu diperoleh dari isterinya sebagai bukti pejabat itu sering diganggu.
"Bila melihat video itu, saya pun terkejut, mula memang tidak percaya tetapi bila sesuatu perkara itu berlaku kerap kali, sukar untuk menidakkan.
"Contoh botol pewangi itu, selama tiga hari berturut botol itu jatuh di lantai sedangkan tiada siapa yang usik.
"Staf mencurigai perkara itu yang akhirnya terkejut apabila melihat CCTV, botol pewangi itu jatuh sendiri tanpa disentuh. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 malam hingga 3 pagi pada hari yang berbeza.
"Bukan itu sahaja, macam-macam kedengaran seperti bunyi meja dan kerusi bergerak waktu malam, ada juga staf perasan ada orang perhatikan dari sudut sedangkan dia hanya bertugas seorang diri,” tambahnya.
Katanya turut teruja apabila membaca maklum balas netizen di Twitter malah tidak berkecil hati kerana ia sekadar pandangan masing-masing.
"Bila saya post di Twitter, macam-macam orang komen, ada orang kata nampak entiti berwarna putih bergerak laju. Ada juga bergurau dengan memberitahu hantu mungkin tidak suka bau pewangi itu.
"Ada juga yang komen nampak bayang lembaga,benda merangkak dan macam-macam lagi," katanya.
Menurutnya, pihak pengurusan juga tidak mengambil serius soal itu kerana ia tidak membabitkan pekerja hanya sekadar gangguan biasa.