PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) akan memperkenalkan barisan pemain dan melancarkan jersi skuad The Bos Gaurus pada sesi pertama pertemuan bersama Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak lama lagi.
Setiausaha Agong Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaludin berkata, pihaknya merancang sesi itu akan dilaksanakan pada 20 Januari ini.
"Apa pun tertakluk kepada tarikh sebenar yang akan diketahui esok selepas mengadakan perbincangan dengan Al Ikhsan sendiri dan wakil daripada MB.
"Jadi, tempat pun belum diputuskan sama ada di stadium atau Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya. Apa-apa pun esok akan dimuktamadkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pejabat Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Kangsar di Persiaran Medan Suria, Jalan Taiping, hari ini.
Menurutnya, pihaknya hampir selesai menyenaraikan pemain-pemain akan mewakili Perak.
"Semua pemilihan pemain kita serah kepada pengurus pasukan dan jurulatih. Setakat ini dah 90 peratus sudah siap.
"Trio Brazil, Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva dikekalkan selain pengambilan bekas pemain PKNS FC, Zac Anderson dan J Partiban," katanya.
Abdul Aziz berkata, pengurusan akan mengadakan perbincangan dengan Ahmad Faizal berhubung keperluan mengisi kuota pemain Asian.
"Difahamkan pengurus pasukan akan berbincang dengan MB sama ada perlu atau tidak diambil kuota pemain Asian. Jadi itu terserah kepada perbincangan antara mereka.
"Cuma kita kena daftar paling minima pada 10 Januari ini, 20 pemain dahulu. Selepas itu, pertengahan bulan Februari baru muktamadkan keseluruhan 30 pemain. Itulah syarat-syaratnya," katanya.