KLANG - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menggempur enam buah pusat hiburan keluarga yang disyaki menjalankan operasi judi komputer di sekitar daerah Klang Utara di sini Sabtu lalu.
Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, operasi hasil maklumat awam ini berjaya memberkas 78 individu berusia lingkungan 23 hingga 66 tahun.
"Berdasarkan pecahan tangkapan, tangkapan penjaga adalah seramai 18 orang, pemain (28) dan pengunjung (32).
"Tangkapan ini turut membabitkan beberapa warga asing dan yang turut dikesan melakukan kesalahan tiada memiliki dokumen serta dokumen tamat tempoh," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Zamri berkata, rampasan turut dibuat membabitkan 71 mesin permainan disyaki digunakan untuk kegiatan perjudian selain rampasan wang tunai berjumlah RM22,750.
Katanya, siasatan mendapati kalangan pemain dan pengunjung majoriti terdiri daripada warga tempatan berusia di bawah 30 tahun.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.
Tambahnya, bagi tangkapan warga asing, mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.