KLANG - Lima unit kedai dan tiga buah rumah musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Baru Batu 7 Jalan Kebun pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 7.42 pagi dan jentera penyelamat ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Andalas, BBP Kota Raja dan BBP Kota Anggerik terlibat bagi memadamkan kebakaran yang berlaku.
"Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu," katanya.
Dalam pada itu Hafisham berkata, buat masa ini pihaknya juga masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran berkenaan.
Tambah beliau, pihaknya turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kejadian itu berpunca disebabkan oleh litar pintas.
"Kalau ada pihak yang kata litar pintas itu jangan percaya sebab pihak kami masih belum mengenal pasti punca kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini," katanya.