BANGI - Kerajaan harus menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sejak 1 September tahun lalu kepada sistem percukaian pintar.
Bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram ketika mengutarakan cadangan itu berkata, masa semakin suntuk untuk kerajaan mengubah sistem percukaian negara ketika sesi pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini.
Menurutnya, peralihan kaedah penjanaan pendapatan untuk negara wajar bersandarkan sistem percukaian pintar yang berteraskan model lebih progresif.
"Saya terus membantah GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), tapi saya rasa SST sendiri banyak kekurangan dan ia patut digantikan dengan sistem percukaian pintar.
"Bagaimanapun masa sudah suntuk dan saya rasa tiada guna untuk saya komen lebih daripada itu,” katanya selepas menyampaikan ucaptama sempena Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Keempat, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Turut berkenan berangkat pada syarahan itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Pakar ekonomi itu turut menegaskan, penolakannya terhadap GST dan SST adalah kerana kedua-dua sistem percukaian itu bersandarkan kadar penggunaan serta tidak progresif.
"Untuk merangka sistem percukaian progresif bukan tugas mudah, namun ada banyak pemikiran baharu mengenai sistem percukaian di pentas antarabangsa ketika ini.
"Ramai yang fikirkan (kaedah dan mekanisme percukaian pintar ini) tetapi untuk saya ini (GST serta SST yang tidak progresif) bukan caranya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan cadangan segelintir pihak supaya GST dikembalikan bagi menampung pendapatan kerajaan namun diperuntukkan pada kadar permulaan tiga peratus.