SHAH ALAM - Pihak pengurusan penghantaran makanan Foodpanda diharap dapat melaksanakan semula skim bayaran seperti sebelum ini dan memansuhkan skim pembayaran baharu kepada semua penghantar makanan syarikat berkenaan.
Seorang penghantar makanan Foodpanda yang hanya mahu dikenali sebagai Am, 23, berkata, kaedah pembayaran sedia ada dilihat lebih baik berbanding skim pembayaran baharu yang dikira berdasarkan jam bekerja.
Menurutnya, kaedah pembayaran sedemikian (mengikut jam bekerja) akan memberikan kesulitan kepada penghantar makanan terutama yang berkhidmat sepenuh masa.
"Bagi saya, cara lama lebih bagus dan disukai oleh penghantar makanan, jadi kami harap teruskanlah cara sedemikian.
"Cara baharu ini pasti akan memberikan kesan terutama yang bekerja sepenuh masa. Bagi penghantar makanan yang bekerja separuh masa mungkin tidak terasa sangat.
"Lagipun kalau nak harapkan pesanan makanan mengikut jam rasanya tidak cukup," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Sebelum ini penghantar makanan Foodpanda dibayar RM4 sejam, selain mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.
Seorang lagi penghantar makanan Foodpanda, Amir (bukan nama sebenar), 24, berkata, isu berkenaan mulai kecoh sejak pihak pengurusan Foodpanda mengumumkan mengenai kaedah baharu pembayaran berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan mereka bekerja ikut syif dan kaedah baharu itu akan menyebabkan pendapatan mereka terjejas.
"Justeru, saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Kalau tak ada penghantar makanan macam kami, tak adalah Foodpanda," katanya.
Sementara itu seorang lagi penghantar makanan yang mahu dikenali sebagai Awe berkata, setakat ini dia hanya mengetahui serba sedikit berhubung perkara berkenaan kerana baru mula bekerja dengan Foodpanda.
"Saya tidak berapa tahu isu ini tetapi ada dengar kawan-kawan bercerita, Lagipun saya hanya buat kerja sambilan sahaja tetapi saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.