BURUK dan baik sesuatu pertubuhan, masyarakat, atau kerajaan bergantung kepada pemimpinnya.
Kita sudah melihat banyak kali di dunia ini apabila sesuatu negara dipimpin oleh pemimpin yang tidak baik dalam serba serbi sifatnya, maka lambat laun negara itu akan ditimpa malapetaka dan kemusnahan.
Sebaliknya, pemimpin yang baik dalam serba-serbi akan membawa negaranya menjadi gemilang, aman makmur dan sentosa.
Rakyatnya akan hidup aman damai dan bahagia.
Negara kita sekarang ini dipimpin oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin baru yang belum teruji. Masa akan memperlihatkan sifat mereka.
Rakyat berharap mereka akan menjadi pemimpin yang baik dan beramanah.
Sukacita saya menulis tentang ciri-ciri pemimpin yang baik dari segi budaya Melayu dan juga dari segi ajaran agama Islam.
Semoga bermanfaat. Suka saya meminjam kata-kata hikmat kepimpinan pendeta tersohor Nusantara iaitu Tenas Effendy, mengenai kepimpinan luhur.
Kata Tenas Effendy, dalam kepemimpinan Melayu, pemimpin adalah orang yang biasa disebut"orang yang dituakan, didahulukan selangkah, ditinggikan seranting”....."didahulukan dapat diraih, tinggikan dapat dijangkau, dekatnya tidak beranjak, jauhnya tidak berantara”.
Maksudnya ialah seorang pemimpin tidak boleh memiliki sifat dan sikap yang angkuh, diperkukuhkan dengan ungkapan"tinggikan dapat dijangkau, dekatnya tidak beranjak”.
Tenas Effendy membahagikan pemimpin kepada beberapa bahagian seperti berikut:
a. Pemimpin Amal iaitu yang menunjukkan terdapatnya sifat shidiq: Hidupnya lurus makannya halal, orang sayang nama terkenal. (Effendy, 2014:64)
b. Pemimpin Jantan iaitu yang menunjukkan terdapatnya sifat jujur: Sebagai pemimpin hatinya jantan, gagahnya tidak memilih lawan, setianya patut dijadikan kawan, beraninya dapat jadi andalan, dada berisi dipalut iman, hati jujur berbelas kasihan, rakyat sejahtera hidup dan nyaman. (Effendy, 2014:158)
c. Pemimpin Jujur iaitu yang menunjukkan terdapatnya sifat jujur: Sebagai pemimpin lurus dan jujur, beroleh rahmat ia bersyukur, hidup merakyat rukun dan akur, negeri sentosa rakyat pun makmur, pemerintahan adil serba teratur, amanah dan janji tiada luntur. (Effendy, 2014:160)
d. Pemimpin Cerdik iaitu yang menunjukkan terdapatnya sifat cerdik: Sebagai pemimpin ianya cerdik, tahu menyimak bijak menilik, tahu menyelesaikan perkara pelik, ilmunya luas budipun baik. (Effendy, 2014: 117)
e. Pemimpin Abdi iaitu yang menunjukkan terdapatnya sifat abdi: Dijadikan pemimpin besar manfaat, negeri sentosa sempurna umat, orang suka jauh dan dekat, rahmatnya ada dunia akhirat. (Effendy, 2014: 41)
Antara ciri-ciri kepimpinan yang baik mengikut agama Islam adalah seperti berikut: Memilih seorang pemimpin (muslim) bagi menguruskan hal ehwal umat Islam adalah WAJIB berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma’ ulama. Umumnya, tugas utama pemimpin umat Islam adalah untuk menjaga urusan agama dan dunia, yang bermaksud: Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan kepimpinannya.
Pemimpin perlu bertaqwa dan ikhlas serta tidak meninggalkan kewajipan agama dan juga mampu menjamin hak-hak manusia di bawah jagaannya. Pemimpin mestilah berpengetahuan agar dapat membezakan yang hak dan batil serta proaktif dalam menangani kepimpinan.
Ciri-ciri pemimpin mengikut ajaran Islam adalah seperti berikut:
Tidak Mengkhianati (Amanah):"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada kamu sedang kamu mengetahuinya". (Al-Anfal:27)
Tidak Menipu/Membohong:"Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap orang berdusta lagi banyak berdosa". (Al-Jaatiyah:7)
Tidak Berlaku Zalim:"Lalu orang-orang yang zalim mengganti perintah dengan yang tidak diperintahkan kepada mereka". (QS.Al-Baqarah:59)
Tidak Melampau Batas:"Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampau batas". (Asy-Syu'ara:151)
Tidak Menyesatkan:"Dan mereka berkata: 'Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, timpakanlah azab kepada mereka azab dua kali ganda dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar". (Al-Ahzab:67-68)
Tidak Sombong:"Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran) nya". (An-Naml:14)
Tidak Mengikut Hawa Nafsu:"Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingat Kami dan menuruti hawa nafsunya serta urusannya itu melampau batas". (Al-Kahfi:28)
Tidak Mementingkan Diri Sendiri (Mementingkan Rakyat):"Sepeninggalanku nanti akan ada pembesar-pembesar negara yang mementingkan diri sendiri dan bertindak dengan tindakkan yang tidak kamu sukai". (HR.Muslim 4/1811)
Tidak Mempersulitkan:"Ya ALLAH, sesiapa yang menjabat suatu jabatan dalam pemerintahan umatku lalu dia mempersulitkan urusan mereka maka persulitkanlah pula dia,dan sesiapa yang menjabat suatu jabatan lalu dia berusaha menolong mereka maka tolonglah dia". (HR.Muslim 4/1795)
Tidak Rasuah Dan Menerima Hadiah (Untuk kepentingan/balasan):"Nabi melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah". (HR.Abu Daud(3580),Tirmidzi(1337),Ibnu Majah(2313), juga diriwayatkan oleh Ahmad, IbnuHibban dan Al-Hakim)
Tidak Menggelapkan Harta / Wang Rakyat (Negara):"Barang siapa yang kami angkat di antara kamu memangku suatu jabatan lalu disembunyikannya terhadap kami sebuah jarum atau yang lebih kecil daripada itu,maka perbuatannya itu adalah penggelapan.Dia akan datang pada hari kiamat membawa barang yang digelapkannya itu". (HR.Muslim 4/1801)
Memakmurkan Rakyat / Negara:"Tidak seorang pun Amir yang menguasai atau memerintah kaum Muslimin, tetapi dia tidak berjuang dengan sungguh-sungguh dan tidak memberikan pengarahan untuk kemakmuran (kecukupan/keperluan) mereka, nescaya ALLAH tidak membolehkannya bersama-sama mereka ke Syurga". (HR.Muslim 4/1798)
Di bawah ini pula adalah sifat-sifat mulia yang sewajarnya ada pada seseorang pemimpin.
Taat kepada ALLAH & RasulNya (Ali-Imran:32) ; takut kepada ALLAH SWT (An-Nur:50) ; beriman dan beramal soleh (Al-Bayyinah:7) ; adil (An-Nur:90) ; benar (At-Taubah:119) ; berilmu (Ar-Rum:29) ; mengutamakan keimanan (At-Taubah:23) ; tidak mengutamakan kenikmatan dunia (Hud:116) ; solat (HR.Muslim 4/1820) ; memimpin dengan kitabullah dan sunnah Nabi s.a.w. (HR Muslim no.1838) ; memerintah kepada ketaatan dan kebaikan (HR.Muttafaq 'alaih) ; berjasa kepada manusia (HR.Muslim 4/1812) ; tidak mengharap dan meminta-minta jawatan (Pemimpin) (Muttafaq 'alaih).
Nah, adalah menjadi harapan rakyat supaya semua pemimpin dapat mentadbir dengan sifat-sifat yang telah dihuraikan itu sebaiknya. Dengan yang demikian, maka akan makmurlah negara Malaysia yang tercinta.