KEPALA BATAS - Seorang tukang masak kantin sekolah maut apabila motosikal ditunggang dilanggar sebuah motosikal lain di Jalan Kampung Simpor Tasek Gelugor di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Norhayati Abdullah, 56, meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya pada jam 1.35 petang semalam.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan tersebut.
"Dalam kejadian itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave datang dari arah Permatang Buloh menghala ke Klinik Kesihatan Tasek Gelugor. Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa ingin membelok ke kanan namun dilanggar sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dari arah sama.
"Akibat pelanggaran itu kedua-dua penunggang motosikal terjatuh namun penunggang motosikal Modenas Kriss yang berusia 20 tahun mengalami luka di tangan kiri dan kening kiri serta kaki kirinya terseliuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki meninggal dunia selepas dua minggu dirawat kerana terlibat dalam kemalangan di Jalan Heng Choon Thiean di sini.Noorzainy berkata, Lee Ah Bah, 56, disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya pada jam 11.15 pagi semalam akibat parah di bahagian kepala.
"Mangsa terlibat dalam kemalangan pada 17 September lalu kira-kira jam 9.30 pagi. Dalam kejadian itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS2 telah bergesel dengan motosikal Yahama Ego S yang tidak sempat mengelak.
"Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya namun mangsa disahkan meninggal dunia selepas dua minggu dirawat. Penunggang motosikal Yamaha Ego S yang berusia 39 tahun hanya mengalami luka di tangan dan kaki," katanya.