Pahang bantah Uniten Muadzam Shah ditutup

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang membantah penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Bandar Muadzam Shah, Rompin.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak kemasukan 200 pelajar pertama pada tahun 2001 sehingga kemuncak pada 2015, universiti tersebut telah mendidik seramai 4,300 pelajar dan jumlah itu turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti sosioekonomi di bandar Muadzam Shah.

Iklan
Iklan

"Sungguhpun kini jumlah pelajarnya menurun kepada 1,300 orang tetapi ini sebenarnya merupakan kesan daripada faktor ekonomi nasional dan dunia. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik saya percaya jumlah kemasukan pelajar kembali bertambah.

"Kerajaan negeri meminta pengurusan Uniten serta pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar dapat menyemak kembali perancangan itu dengan mengambil kira bantahan oleh kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Wan Rosdy berkata, di samping berjasa mendidik ramai anak bangsa di negeri ini, universiti itu juga mempunyai nilai sentimental yang amat bermakna kepada Pahang kerana namanya mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Lembaga Pengarah Uniten pada 24 September lepas mengenai inisiatif yang dikenali ‘Reimagining Uniten’ bagi memusatkan kampus-kampusnya yang ada ke Putrajaya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Sah gabung kampus Rompin, Putrajaya tahun depan

Di bawah inisiatif itu, Uniten juga dikatakan akan berganding bahu dengan Jabatan Real Estate Ventures (REVD) TNB untuk mentransformasikan Uniten KSHAS di Bandar Muadzam Shah kepada premis TNB yang baharu.

"Walau apapun perancangan yang ada, dengan memberi apa juga istilah ‘bombastic’ kepada usaha tersebut, pucuk pangkalnya ialah Uniten KSHAS di Muadzam Shah akan ditutup. Kerajaan negeri tidak dapat terima dan membantahnya,” katanya.

Tambahnya, ketika kerajaan negeri meluluskan tanah seluas kira-kira 68 hektar kepada Uniten pada penghujung 1990-an adalah bagi maksud pembinaan segala jenis infrastruktur yang diperlukan agar terbina sebuah kampus yang dapat menampung keperluan pendidikan dan penginapan ribuan pelajarnya.

"Oleh itu sepertimana positifnya pandangan kerajaan negeri tentang kewujudan Uniten KSHAS, begitulah juga diharapkan di pihak Uniten dan TNB.

"Diharapkan daripada melakukan usaha untuk menutupnya, adalah lebih wajar berusaha untuk menyemarakkannya lagi dengan pengenalan lebih banyak kursus peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Tidaklah terhad kepada adanya Kolej Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (COBA) sahaja,” katanya.