RIO DE JANEIRO - Pengedar dadah di Rio de Janeiro, Brazil dilaporkan membunuh musuhnya dan mayat itu dijadikan makanan babi peliharaannya.
Dua siasatan polis negeri mendapati, pengedar dadah telah memberi makan sekurang-kurangnya sembilan mayat kepada haiwan berkenaan yang dibela di belakang rumah di kawasan setinggan Vigário Geral.
Susulan itu, sebuah mahkamah di Rio mengarahkan penahanan 11 ahli geng itu minggu lalu.
Menurut laporan Extra Globo, nama pengedar dadah yang bertanggungjawab membela babi berkenaan ialah Wilton Arjona da Silva yang juga dikenali sebagai Little Pig.
Difahamkan, pihak polis mengesyaki hal itu selepas kehilangan tujuh individu pada Mei tahun ini.
Pihak berkuasa berkata, kumpulan pengedar dadah bersenjata yang bergaduh bertindak menculik dan membunuh musuh mereka.
Seorang saksi memberitahu mayat tersebut kemudian dijadikan makanan untuk babi.
Terdapat maklumat mengatakan mayat-mayat itu dimakan babi yang sengaja dibiarkan kelaparan agar ia akan memakan apa sahaja termasuk mayat.
Mangsa lain yang dilaporkan dibunuh dan mayat mereka dimakan babi termasuk dua pemuda yang ditahan pengedar dadah di Vigário Geral pada tahun 2017 kerana merompak di kawasan mereka. - Agensi