PUTRAJAYA - Bersatu akan mengatur strategi terbaik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bagi mengekalkan kerusi tersebut.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa mesyuarat berhubung perkara itu telah pun diatur.
"Esok saya akan berada di Muar untuk mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH).
"Pada sebelah malam pula, saya akan pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya di peringkat pusat bagi membincangkan pelaksanaan untuk mencapai kemenangan di Tanjung Piai," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini semalam.
Menurutnya, Bersatu menjadikan kekalahan pada PRK DUN Semenyih sebagai pengajaran.
"Belajar daripada pengalaman lalu, kita akan atur strategi dan gerak kerja kempen di Tanjung Piai agar lebih menyeluruh dan menjelaskan isu yang tidak difahami rakyat.
"Ini kerana dalam tempoh beberapa bulan lalu banyak perkara berbangkit menjadi tular di media sosial yang tidak diperjelaskan," katanya.
Menyentuh mengenai calon yang bakal dipertaruhkan Bersatu, beliau berkata, pihaknya menerima banyak senarai untuk diangkat sebagai calon.
"Kita akan perhalusi sebaik mungkin calon yang akan dipilih. Sudah pasti yang diterima pengundi di Tanjung Piai," katanya.
Selasa lalu, SPR mengumumkan PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November depan.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu kerana komplikasi jantung.