POKOK SENA - Semua parti politik diminta menonjolkan kematangan dalam berpolitik ketika berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bulan depan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kesemua parti diharapkan mengelak isu-isu yang mampu merosakkan hubungan kaum.
Beliau berkata, tidak kisah siapapun pilihan rakyat dalam PRK itu nanti namun yang penting adalah hubungan baik antara masyarakat tidak dikeruhkan.
"Janganlah bawa isu yang boleh timbulkan ketegangan kaum, menjejaskan hubungan baik sedia ada dan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Newspaper-In-Education (NiE) tajaan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Star Media Group di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau yakin rakyat menginginkan kelangsungan ditinggalkan bekas Ahli Parlimennya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.
"Melalui usaha Allahyarham, kira-kira RM14.75 juta peruntukan diluluskan untuk projek kemudahan dan infrastruktur di Tanjung Piai," katanya.
Dr Md Farid meninggal dunia awal 21 September lepas akibat serangan jantung.