SHAH ALAM - Hari ini genap setahun pemergian enam anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia disebabkan lemas semasa bertugas di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran Perumahan La Cottage Puchong.
Menerusi Facebook Friend Of Bomba Malaysia, perkongsian berkenaan mengundang rasa hiba dalam kalangan netizen.
Rata-rata mereka mengirim doa sebagai tanda mengingati mereka.
"Al-Fatihah buat arwah abang-abang bomba semua, semoga ALLAH mengampuni dosa-dosa mereka serta diterima amal ibadah dan ditempatkan bersama para solihin," demikian menurut Manab Ar.
Sementara menurut Nor Lela pula mengatakan,"Salam takziah al-fatihah pada wira-wira yang tidak didendang, jasa dan pengorbanan akan tetap dikenang semoga roh-roh kalian semua dicucuri rahmat Illahi."
Menurut Musa Mohamed pula jasa mereka akan dikenang sampai bila-bila.
"Salam takziah al-Fatihah pada wira-wira yang tak didendang jasa dan pengorbanan akan tetap dikenang, semoga roh-roh kalian semua dicucuri rahmat Illahi," katanya.
Terdahulu hari ini bagi memperingati pemergian ahli bomba berkenan, sebuah filem berkisarkan perjuangan mereka mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Pada tragedi 3 Oktober tahun lalu seramai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran Perumahan La Cottage.
Dalam kejadian itu empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas ketika operasi mencari remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan lemas di lokasi kejadian.