KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai namun hanya akan memutuskan calon sama ada daripada UMNO atau MCA selepas kajian dibuat dalam waktu terdekat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah berbincang dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung perkara itu.
Iklan
Iklan
"Kita akan bertanding. Perbincangan serta kajian terperinci sedang dilakukan. Kita hanya akan buat pengumuman calon setelah semua kajian dan rumusan dimuktamadkan,” katanya.
PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November depan yang mana tarikh penamaan calon ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November.
Susulan itu juga, UMNO memutuskan untuk menunda Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang sepatutnya berlangsung pada 13 hingga 16 November kepada 4 hingga 7 Disember ini.
Perubahan itu dilakukan bagi memberi peluang kepada seluruh jentera parti memberi tumpuan pada PRK berkenaan.
PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.