Mansuh tol: Kurang sesak, dapat berjimat

Iklan
Keadaan pondok tol bagi motosikal yang telah diangkat palangnya. Gambar kecil atas, Wahyudihafizan dan bawah, Qamarul Haris.

GELANG PATAH - Pemansuhan tol motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Linkedua, di sini, dianggap sesuatu yang bermakna khususnya kepada warga tempatan yang bekerja di negara jiran tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di tol berkenaan juga mendapati palang di setiap pondok tol motosikal juga telah diangkat selain turut memaparkan notis percuma.

Iklan
Iklan

Salah seorang pengguna, Wahyudihafizan Abd Rahman, 28, berkata, dia telah menggunakan laluan tersebut sejak setahun lalu yang mana diakui laluan tersebut agak sibuk di waktu puncak.

Katanya, tol berkenaan juga dianggap salah satu punca kesesakan memandangkan penggunanya perlu beratur untuk melunaskan bayaran yang dikenakan.

Iklan

"Kita memang gembira jugalah bila diumumkan pemansuhan tol ini, sebab selain daripada membayar, laluan ini pun agak sesak terutama waktu pagi dan petang.

"Jadi bila dah tidak perlu nak berhenti, kita yang nak masuk Singapura boleh terus jalan, kalau sangkut pun bila nak masuk kastam sahaja, jimat sikit masa," katanya ketika ditemui di plaza tol berkenaan, di sini, hari ini.

Iklan

Seorang lagi pengguna, Qamarul Haris Muhammad, 21, berkata, selain daripada memudahkan, dia juga boleh berjimat sehingga RM50 setiap bulan untuk pergi bekerja di Singapura setiap hari.

"Baguslah, sebab tidak perlu nak bayar dah. Kalau sehari itu kita keluar masuk kena RM2.20 sebulan dah berapa. Itu belum lagi kalau nak lalu dua tiga kali jalan ini dalam sehari.

"Banyak manfaatlah, lagipun bila kerja Singapura ini kita dah hadap sesak dekat sana (Singapura), bila sampai negara kalau boleh nak balik terus, tidak mahu berhenti-henti dah," ujarnya.

Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir telah meluangkan masa untuk hadir menyempurnakan majlis pemansuhan kutipan tol itu.

Katanya, pemansuhan berkuatkuasa 12 tengah malam tadi itu diyakini akan memberi manfaat kepada warga bandar raya Johor Bahru yang mahu menggunakan laluan berkenaan secara harian.