UMNO umum pinda tarikh PAU 2019

Iklan
Ahmad Zahid berucap pada sidang media Kongres Maruah Melayu di Bangunan UMNO, PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Zahid Izzani

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) yang dijadualkan pada 13 hingga 16 November ini ditunda kepada 4 hingga 7 Disember ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu disepakati oleh Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat hari ini susulan tarikh yang dijadualkan sebelum ini bertindih dengan hari pengundian PRK berkenaan pada 16 November

Iklan
Iklan

"Kami akan menentukan bahawa seluruh jentera UMNO dan BN (Barisan Nasional) ditumpukan di Tanjung Piai," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa lalu turut mengumumkan tarikh penamaan calon PRK itu ditetapkan 2 November manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November ini

Iklan

PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, mewakili Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). Wee memperoleh 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

Iklan

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN berkata, BN telah memutuskan untuk bertanding pada PRK berkenaan namun pengumuman calon yang mewakili parti itu hanya akan dibuat setelah semua kajian perundingan bersama parti komponen dimuktamadkan.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan UMNO akan menghantar wakil ke Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam, Ahad ini selepas menerima jemputan rasmi daripada penganjur semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat menghadiri kongres itu disebabkan kekangan tertentu dan akan menghantar wakil yang diketuai Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa pemimpin parti. - Bernama