JAKARTA - Dua anggota polis Indonesia dihukum penjara 14 hari gara-gara memakai kasut ketika memasuki sebuah masjid di Makassar untuk menangkap mahasiswa Indonesia yang menyertai protes pada bulan lalu.
Semalam, jurucakap polis, Dicky Soendani berkata, tindakan tatatertib itu diambil selepas siasatan dibuat terhadap kes tersebut yang pada awalnya melibatkan empat anggota keselamatan.
Iklan
Iklan
"Bukti berdasarkan rakaman video menggunakan telefon bimbit menunjukkan hanya dua anggota yang terlibat dan mereka bakal dikenakan tindakan disiplin tegas. Seorang daripadanya sudah ditahan.
"Mereka sudah memohon maaf dan sedia bertanggungjawab atas perbuatan itu," katanya.
Pada 24 September lalu, sebuah rakaman video yang menjadi tular di media sosial menunjukkan kedua-dua anggota terbabit lengkap memakai pakaian seragam dengan selamba memasuki masjid sambil memakai kasut ketika protes membantah pindaan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (RKUHP) atau kod jenayah baharu dan beberapa rang undang-undang lain di sekitar Dewan Perhimpunan Sulawesi Selatan. - Agensi