TEHERAN - Lintasan sempadan antara Iraq dan Iran telah ditutup atas permintaan pihak berkuasa di Baghdad yang kini berdepan siri protes ganas, menurut stesen TV Iran hari ini.
Pos sempadan di Khosravi terletak kira-kira 570 kilometer di timur Teheran ditutup pada waktu malam dan masih ditutup sehingga tengah hari tadi.
Iklan
Iklan
Ribuan penunjuk perasaan di Iraq terus membanjiri jalan utama di sekitar ibu negara yang masuk hari ketiga dan kini menjadi cabaran terbesar kepada Perdana Menteri, Adel Abdel Mahdi.
Susulan situasi yang semakin tegang, beliau telah mengenakan perintah berkurung bermula jam 5 pagi (waktu tempatan), namun puluhan peserta protes bertindak berani melanggar larangan tersebut dan berhimpun di Dataran Tahrir di Baghdad.
Dalam perkembangan lain, enam penunjuk perasaan maut ditembak dalam kejadian berasingan di bandar Amarah, wilayah Dhi Qar dan Nasiriyah.
Kematian terbaharu itu menjadikan angka kematian protes mega yang membantah masalah rasuah dan pengangguran di Iraq telah mencecah 19 orang termasuk seorang anggota polis selepas gerakan demonstrasi itu kini merebak ke seluruh wilayah selatan.
Selain itu, hampir 800 penunjuk perasaan dan anggota keselamatan turut dilaporkan cedera. - AFP