SEMUA perhatian kini tertumpu kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang akan dibentangkan kepada rakyat esok.
Difahamkan, wawasan baharu ini memberi fokus untuk merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar.
Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, wawasan itu bukan untuk menjadikan semua orang jutawan tetapi memastikan rakyat merasakan mereka mendapat bahagian yang adil mengikut kategori masing-masing.
Ketika mengumumkan perkara itu buat kali pertama pada 14 September lalu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan mahu merapatkan jurang antara negeri yang kaya dengan yang miskin.
Katanya, jurang lain yang dikenal pasti adalah antara bandar dan luar bandar yang begitu ketara sehingga satu program perlu diwujudkan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Perkara ketiga adalah jurang antara golongan kaya dan miskin sehingga kerajaan mendapati yang miskin terlalu miskin berbanding yang kaya.
Untuk mengatasi masalah tersebut, kerajaan berpendapat pendapatan golongan pekerja perlu dipertingkatkan dengan memberikan mereka latihan dan memastikan mereka lebih produktif, bukan dengan cara hanya menaikkan gaji.
Sesungguhnya, inilah wawasan yang ditunggu selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.
Ini kerana sejak lebih setahun lalu, Malaysia seolah-olah masih terperangkap dengan isu-isu yang sama yang dimainkan oleh pembangkang sehingga menyukarkan usaha untuk membangunkan negara.
Sudah sampai masanya untuk mewujudkan satu naratif baharu kepada semua rakyat Malaysia untuk membangunkan sebuah negara bangsa, malah perlu ada satu sinergi antara kerajaan dan rakyat untuk tujuan itu.
Nasihat kepada pemimpin-pemimpin dalam kerajaan, berhentilah mengikut rentak tari pembangkang, mula dengan mendengar denyut nadi rakyat supaya setiap yang dituturkan itu senada dengan realiti semasa.
Bergeraklah dalam satu pasukan yang kuat supaya segala janji-janji yang pernah diungkapkan selama ini dan tidak sekadar menanam tebu dibibir semata-mata.
Guna mandat yang diberikan oleh rakyat untuk membuktikan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini berjuang untuk negara dan bukan atas kepentingan diri semata-mata.