Calon 18 tahun: Mufti Pulau Pinang beri peringatan

Iklan
Gambar kecil: Wan Salim

SHAH ALAM - Pemilihan calon pemimpin berusia 18 tahun adalah tindakan kurang bijak dan perlu dikaji semula.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, walaupun dikatakan cerdik dan muda namun seseorang pemimpin itu perlu mempunyai pengalaman hidup.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Islam mementingkan elemen senioriti supaya pengalaman golongan 'Assabuqun al-Awwalun' ini dapat dimanfaatkan di samping tidak menyinggung perasaan mereka.

"Kita perlu mengambil kira beberapa perkara yang berkaitan dengan pemilihan pemimpin. Antara lain ialah integriti, kecerdikan dan kecerdasan akal, kemampuan fizikal, juga kematangan berfikir.

Iklan

"Pada kebiasaannya pemuda berumur 18 tahun masih memerlukan pengalaman untuk mematangkan dirinya sebelum menerima amanah kepimpinan yang berat,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Salim turut berkongsi kisah Rasulullah SAW melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima perang kerana kebijaksanaan yang dimiliki.

Iklan

"Tindakan Baginda SAW melantik Usamah sebagai penglima perang demi merawat hati anak muda itu kerana kematian bapanya di dalam peperangan Muktah.

"Situasi yang dilalui Usamah berbeza dengan apa yang berlaku hari ini. Kita bercakap mengenai peraturan yang umum bukan yang luar biasa atau yang terkecuali daripada kebiasaan,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, peraturan dan undang-undang tertentu boleh digubal tetapi perlu berhati-hati apabila melaksanakannya supaya tidak melahirkan kesan yang berlawanan dengan hasrat sebenar.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini bakal mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya calon berusia 18 tahun dibenar bertanding.

Perkara itu berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 berkaitan perubahan had umur calon dari 21 tahun dikurangkan kepada 18 tahun sudah diwartakan dan dikuatkuasakan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan perkara itu pada sidang media pengumuman tarikh PRK Parlimen Tanjung Piai, Selasa lalu.

Sehubungan itu pelbagai respons bertebaran di media sosial sama ada daripada pemimpin politik, pemerhati dan juga netizen berkaitan perkembangan terbaharu itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon 18 tahun dibenar bertanding PRK Parlimen Tanjung Piai

Pengguna sosial tidak setuju calon pilihan raya usia 18 tahun