100,000 nanas jenis MD2 dijual murah

Iklan
Adnan (dua dari kiri) bersama rombongan FAMA menunjukkan buah nanas MD2 yang menunggu masa untuk dituai di ladang nanas Ber One Agro Sdn Bhd di Kampung Padang Satu Changlun. Turut kelihatan Zulkafli (kanan).

CHANGLUN - Kira-kira 100,000 nanas jenis MD2 akan dijual dengan harga ladang di Kedah FAMA Fest 2019 di Pusat Operasi FAMA Sungai Petani pada 17 hingga 20 Oktober ini.

Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Adnan Saad berkata, buah tersebut yang dijual murah kira-kira 30 peratus daripada harga pasaran merupakan peluang terbaik kepada orang ramai untuk mendapatkannya pada harga murah.

Iklan
Iklan

"Kita harap penduduk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis tidak melepaskan peluang untuk hadir ke Kedah FAMA Fest 2019 di Sungai Petani untuk membeli buah-buahan yang murah dijual dengan harga ladang seperti nanas jenis MD2.

"Kami melawat ladang nanas Ber One Agro Sdn Bhd di sini adalah untuk memantau keadaan buah di sini dan dijangka dalam tempoh kira-kira dua minggu dari sekarang buah boleh dituai," katanya kepada Sinar Harian di Kampung Padang Satu Changlun di sini semalam.

Iklan
Adnan memotong nanas MD2 sambil diperhatikan Zulkafli (dua dari kanan) dan rombongan FAMA di ladang nanas Ber One Agro Sdn Bhd di Kampung Padang Satu Changlun semalam.

Menurutnya, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga menggalakkan penanaman pokok nanas MD2 kerana menjadi tumpuan selain muncul antara produk pertanian yang mendapat permintaan sangat tinggi di pasaran.

Sementara itu Pengarah Ber One Agro Sdn Bhd, Zulkafli Saidin berkata, pihaknya bersedia memenuhi permintaan 100,000 nanas jenis MD2 kerana paling laris di pasaran.

Iklan

Jelasnya, kerajaan menyasarkan untuk mengeksport nanas MD2 ke luar negara namun masih gagal dilakukan berikutan masih belum mampu memenuhi permintaan tinggi dalam negara.

"Kami setakat ini sudah menanam kira-kira 300,000 pokok nanas MD2 di ladang nanas Ber One Agro Sdn Bhd dan pada setiap bulan sudah ada peraih yang menempahnya.

"Kami sendiri gagal memenuhi permintaan pasaran setempat yang diedarkan sehingga negeri utara dan kami kini dalam perancangan untuk menambah lagi keluasan tanaman dalam tempoh terdekat ini bagi memenuhi permintaan yang tinggi," katanya.