Ops Noda: GRO, tukang urut dicekup

Iklan
Antara yang ditahan dalam Ops Noda di pusat urut sekitar Cheras dalam operasi tiga hari bermula Isnin lalu.

KUALA LUMPUR - Kegiatan wanita warga asing bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut dikesan menerusi Ops Noda di tiga lokasi berasingan di sekitar Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, operasi selama tiga hari bermula Isnin itu berjaya menahan enam GRO dan lima tukang urut dalam serbuan berasingan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kesemua mereka terdiri daripada lima warga Myanmar, empat Vietnam dan dua Indonesia.

"Serbuan pertama kira-kira jam 10.15 malam di premis urut di Taman Maluri berjaya menahan lima tukang urut. Operasi keesokannya di pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa bertindak menahan tiga GRO.

Iklan

"Seterusnya operasi hari ketiga kira-kira jam 11.10 malam turut menyerbu pusat istirahat di Taman Cheras Utama dan memberkas dua GRO," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, turut ditahan sepanjang operasi tersebut adalah lima individu membabitkan penjaga premis dan pelanggan.

Iklan

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan.

Antara yang ditahan dalam Ops Noda di pusat urut sekitar Cheras dalam operasi tiga hari bermula Isnin lalu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan kelmarin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya membongkar kegiatan perjudian dalam talian yang telah beroperasi sejak dua minggu di sebuah kondominium di Bandar Tasik Selatan.

"Operasi kira-kira jam 9.30 malam itu berjaya menahan lima lelaki warga China.

"Suspek kini direman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.