SEBUT sahaja penceraian, tiada siapa yang menyukai perkara itu. Ya, ia barangkali menjadi peristiwa yang amat menyakitkan bagi sesiapa yang pernah mengalaminya.
Perasaan itulah yang dialami oleh Maizura (bukan nama sebenar) selepas bercerai dengan Ariffin (bukan nama sebenar).
Mereka sudah lama menyulam cinta sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 1990. Namun, entah di mana silapnya, selepas 13 tahun hidup bersama, ikatan suci itu terlerai akhirnya dengan jatuhnya talak satu.
Perceraian tersebut dibuat di sebuah Mahkamah Syariah di pantai timur pada tahun 2003. Hasil perkahwinan itu, Maizura dan Ariffin dikurniakan dua orang anak.
Sepanjang tempoh perkahwinan, Maizura hanyalah suri rumah dan tidak pernah bekerja. Namun, suaminya mempunyai pekerjaan tetap yang bagus dan bergaji agak tinggi.
Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat anak-anaknya membesar tanpa seorang ayah. Selama ini, bekas suaminya menjadi tempat mereka bergantung harap.
Atas nasihat orang di sekelilingnya, Maizura membuat tuntutan harta sepencarian terhadap bekas suaminya antaranya harta tidak alih seperti rumah yang terletak di ibu kota dan harta alih seperti kereta, wang simpanan dan sewa rumah.
Wanita berusia 40 tahun itu kemudiannya memfailkan tuntutan harta sepencarian di sebuah Mahkamah Syariah di pantai timur. Mahkamah Tinggi Syariah kemudian memutuskan Maizura layak mendapat satu perempat bahagian rumah berkenaan. Begitu juga bahagian untuk harta alih yang lain.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Maizura membuat rayuan dan memohon untuk mendapatkan separuh daripada keseluruhan nilaian rumah berkenaan. Menurut pandangannya, jumlah itu memadai untuk mendapatkan hak yang sama dengan bekas suaminya.
Akhirnya, Mahkamah Rayuan Syariah memberikan nilaian rumah tersebut pada kadar satu pertiga kepada Maizura. Ini kerana Maizura mengakui, beliau tidak memberikan sumbangan langsung kepada rumah berkenaan.
Wanita itu akur dengan keputusan itu dan menerimanya dengan berlapang dada. Sejujurnya, beliau sangat berterima kasih kepada insan di sekelilingnya yang menyedarkannya untuk menuntut harta sepencarian meskipun beliau hanyalah suri rumah sepanjang perkahwinannya dengan bekas suaminya.
Fahami tuntutan harta sepencarian
Bagi mengulas tentang harta sepencarian, Sinar Islam mengemukakan kes berkenaan kepada peguam syarie, Raihan Mustafa Kamal.
Ujar beliau, isteri sebenarnya berhak menuntut harta sepencarian walaupun mereka tidak pernah bekerja atau memberikan sumbangan langsung sepanjang tempoh perkahwinan bersama suami.
Menurutnya, ia bagaimanapun tertakluk kepada terma-terma yang telah diperuntukkan oleh undang-undang dan hukum syarak.
"Perlu difahami bahawa harta sepencarian ialah apa-apa harta sama ada harta alih atau tidak alih yang diperoleh semasa tempoh perkahwinan. Ia sama ada secara sumbangan langsung daripada pihak suami atau sumbangan langsung dari kedua-dua suami isteri dalam tempoh perkahwinan.
"Ia juga termasuk harta yang dimiliki oleh mana-mana pasangan sebelum berkahwin dan semasa tempoh perkahwinan, yang mana harta tersebut telah dinaik nilaikan melalui sumbangan pihak yang satu lagi," katanya kepada Sinar Islam.
Dalam hal itu, Raihan turut mengingatkan bahawa harta sepencarian bukan hanya boleh dituntut sekiranya berlaku perceraian sahaja, bahkan ia boleh dituntut apabila suami berpoligami dan ketika berlaku kematian suami atau pasangan sebelum pembahagian harta pusaka kepada waris diagihkan.
"Meskipun tiada apa-apa peruntukan berkaitan harta sepencarian secara khusus dalam hukum syarak, namun konsep harta sepencarian ini lebih kepada ‘uruf atau adat di negara kita yang mana datang dari adat temenggung mahupun adat perpatih.
"Bagaimanapun, selagi ‘uruf tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak, ia diiktiraf. Dalam Enakmen Negeri Selangor misalnya, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 mengiktiraf mengenai harta sepencarian sama ada sumbangan tunggal salah seorang pihak mahupun sumbangan bersama," katanya.
Pun demikian, ujar beliau, dalam kes harta sepencarian, lazimnya Mahkamah Syariah akan memberikan paling kurang satu pertiga bahagian harta sepencarian kepada bekas isteri sekiranya mereka tidak menyumbang secara langsung kepada harta tersebut.
"Ia termasuklah sama ada isteri tersebut bekerja ataupun suri rumah. Sekiranya ada sumbangan isteri semasa tempoh perkahwinan, bahagian itu boleh jadi lebih lagi," katanya.
Kepada satu soalan, Raihan berkata:"Harta sepencarian ialah salah satu bentuk penghargaan atau hadiah kepada bekas isteri kerana telah bersama-sama membantu si suami sepanjang tempoh perkahwinan.
"Walaupun sumbangan secara langsung tiada, tanggungjawab si isteri terhadap keluarga, memberikan sokongan kepada si suami sehingga mampu untuk membayar dan memiliki harta tersebut juga dianggap satu sumbangan tidak langsung daripada si isteri.
"Cuba bayangkan, kalau tempoh perkahwinan sudah 30 tahun dan pasangan tersebut bercerai, tidakkah ada bahagian si isteri sepanjang tempoh perkahwinan dalam membantu si suami dalam memiliki harta-harta sepanjang tempoh perkahwinan? Adil ataupun tidak? Begitu cantiknya adat tersebut untuk memelihara dan melindungi wanita-wanita selepas daripada perceraian."