KLANG - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) semalam menumpaskan kegiatan pendatang tanpa izin (PATI) yang berselindung di kawasan 'red zone' di Pulau Ketam kerana bekerja secara haram sebagai nelayan dan tekong.
Serbuan di lima buah rumah yang telah dikenal pasti sebagai lokasi transit warga asing yang bekerja sebagai nelayan, penjaga kelong, tekong bot dan awak-awak itu dilakukan bersama bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu bermula jam 3 pagi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka dipercayai masuk dan keluar dari negara jiran secara tidak sah dengan menggunakan laluan yang tidak diwartakan.
"Kawasan tersebut merupakan ‘red zone’ dan berisiko tinggi kerana pendatang ini boleh menggelakkan diri daripada ditahan termasuk bertindak agresif terhadap pegawai penguat kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil serbuan di lokasi tersebut, seramai 26 PATI warga Indonesia termasuk enam wanita ditahan.
Katanya, semakan mendapati PATI terbabit tinggal tanpa pas atau permit yang sah.
"Ada yang cuba melarikan diri tanpa menghiraukan keselamatan mereka sehingga memanjat bumbung rumah dan berlari di bawah rumah yang penuh dengan lumpur dan benda tajam.
"Pemeriksaan juga mendapati terdapat pintu rahsia dan laluan di sekeliling rumah papan yang mereka tinggal untuk memudahkan mereka meloloskan diri," katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Tegas Khairul Dzaimee, tindakan risikan dan operasi secara bersepadu bersama APMM dan juga agensi yang lain akan diteruskan secara berkala bagi membanteras sindiket dan aktiviti jenayah yang melibatkan PATI.