SEREMBAN – Kerajaan perlu melakukan kajian hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dibelanjakan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kajian bukan sahaja dalam konteks perlaksanaan kutipan cukai sebaliknya cara menguruskan perbelanjaan hasil yang diterima.
Katanya, hasil kutipan GST itu perlu dikembalikan kepada rakyat bukan hanya membebankan mereka.
"Kajian untuk melaksanakan GST bukan sekadar mengutip sahaja sebaliknya bagaimana kerajaan mahu membelanjakan wang itu yang rakyat perlu tahu.
"Rakyat perlu mendapat lebih faedah daripada perlaksanaan GST. Wang yang dikutip itu perlu dikembalikan kepada rakyat bukan untuk perkara lain. Contohnya jika rakyat berbelanja RM100, kerajaan perlu kembalikan dengan jumlah yang lebih berganda.
"Apa pun keputusan dan tindakan yang diambil kerajaan perlu mengutamakan kebajikan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.
Aminudin mengulas demikian terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedia mengkaji semula pelaksanaan GST sekiranya itu kehendak rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, kajian tersebut bagi melihat sama ada GST lebih baik daripada SST.
Selasa lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan memperkenal semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.
Beliau berkata, kadar yang sesuai jika kerajaan melaksanakan semula sistem percukaian itu ialah tiga peratus.
Katanya, pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah bersama-sama pemberian subsidi akan membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah.
ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan sedia kembalikan GST: PM