SUBANG JAYA - Kerajaan Selangor memohon maaf terhadap insiden penangkapan anjing yang tular di media sosial sejak semalam.
Exco Selangor, Ng Sze Han berkata, perlakuan kasar petugas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ketika menjalankan penangkapan anjing itu amat dikesali.
Menurutnya, beliau memahami situasi terpaksa dihadapi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan petugas terhadap aduan anjing dan kucing terbiar yang semakin meningkat.
"Saya bagi pihak kerajaan negeri Selangor ingin memohon maaf terhadap insiden tersebut," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sze Han berkata, beliau telah berjumpa dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan mesra haiwan bagi membincangkan isu anjing dan kucing terbiar.
Menurutnya, pihaknya sedang meneliti pendekatan yang dapat meminimumkan kecederaan terhadap haiwan ketika proses penangkapan dibuat.
"Pihak kerajaan negeri juga dalam proses untuk menambah baik keadaan pusat penjagaan dan adopsi haiwan di setiap PBT.
"Perkara-perkara ini akan diumumkan kemudian sebaik sahaja ditetapkan dan dimuktamadkan pelaksanaannya.
"MPSJ akan lakukan siasatan terhadap insiden ini dan saya berharap ia menjadi iktibar kepada PBT lain supaya perkara seumpama itu tidak berulang lagi," katanya.
Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan proses penangkapan anjing tular di media sosial.
Menerusi rakaman berdurasi 4 minit 13 saat itu, petugas MPSJ dilihat menangkap seekor anjing dan mereka cuba dihalang oleh beberapa individu