TRAK pikap keluaran terbaru Isuzu DMAX 1.9L BluePower yang ditunggu-tunggu peminat kenderaan itu kini menembusi pasaran Kelantan bermula Selasa lalu.
Pengarah Eksekutif, Masayuki Suzuki berkata, negeri ini terpilih menjadi lokasi pelancaran seterusnya selepas acara utama yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 18 September lalu berdasarkan permintaan di negeri ini.
Katanya, DMAX dikenali dengan ketahanan dan penjimatan bahan api dan kini ditambah baik dengan teknologi yang lebih cekap dan kuasa enjin yang dipertingkatkan.
"D-Max ini dipadankan dengan enjin 1.9L baru yang dikenali dengan nama RZ4E dan melepasi ujikaji teliti oleh pihak Isuzu.
Mengikut spesifikasi enjin RZ4E, ia merupakan enjin 1.9L 4-selinder DOHC 16V common rail direct injection dan dilengkapi dengan pengecas turbo (VGS).
"Kini DMAX baharu bukan hanya boleh menggunakan diesel Euro2M Malaysia malah ia juga diuji dan terbukti mempunyai kadar penjimatan bahan api yang cukup baik (8L/100km),” katanya selepas menyempurnakan gimik pelancaran di Tapang, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Beliau berkata, sistem transmisi pula ditawarkan dalam dua kotak gear enam kelajuan manual dan automatik yang pecutan 0-100 km/j kini hanya mengambil masa kira-kira 13.7 saat (13.9 saat untuk kotak gear manual).
"Dari segi luaran, Isuzu D-Max tampil dengan beberapa peningkatan minimum seperti lampu nyalaan siang LED yang lebih panjang, rekaan bampar yang lebih segar dengan kemasan krom melintangi bahagian muka hadapan trak pikap itu.
"Pintu ruang barangan juga menggunakan bahan yang lebih ringan, membolehkan pengguna mengangkat pintu tersebut dengan hanya satu jari sahaja dan ciri tersebut ditawarkan sebagai satu pilihan kepada para pembeli,” katanya.
Tambahnya, Isuzu Malaysia menyediakan pilihan 11 varian kepada bakal pembeli sehingga paling tinggi enjin 3.0T automatik.
Terdapat enam warna pilihan iaitu Magnum White, Silky Pearl White, Titan Silver, Stallion Black, Red Spinel dan Sapphire Blue.
Sementara, harga Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low-Ride serendah RM80,149.20 sehingga Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT-P bernilai RM120,838.20.