'Jangan terlalu hormat JDT II'

Iklan
Sulaiman - Foto UKM FC

PEMAIN UKM FC diingatkan supaya tidak terlalu menghormati status Johor Darul Ta’zim (JDT) II sebaliknya Sulaiman Hussin menuntut anak-anak buahnya memberikan aksi terbaik menjelang aksi final pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam ini.

Pengendali UKM FC itu berkata, The Varsity Boys perlu memanfaatkan peluang kali kedua mara ke pentas final dengan meraih kemenangan selepas dikecewakan Terengganu Football Club II (TFC II) dengan agregat 4-2 musim lalu.

Iklan
Iklan

"Saya mahu pemain UKM FC memberikan aksi terbaik mereka pada aksi final pertama ini dengan membuktikan bahawa mereka juga mampu menyaingi barisan pemain JDT II yang jauh berpengalaman.

"Gunakan pentas final ini sebagai platform untuk mereka mengembangkan potensi diri bersaing pada peringkat lebih tinggi pada masa depan untuk menarik perhatian pencari bakat dari luar yang ingin melihat potensi pemain UKM FC,” katanya ketika dihubungi semalam.

Iklan

Sulaiman kini berada di Jepun bagi mengikuti modul 4 Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada masa sama, Sulaiman berkata, pemain-pemain The Varsity Boys perlu berwaspada dan mengelak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan mereka berputih mata.

Iklan

"Kita tahu JDT II mempunyai rekod baik semasa beraksi di Pasir Gudang, jadi saya mahu pemain saya khasnya bahagian pertahanan tidak mengambil mudah ancaman jentera serangan tuan rumah.

"Saya percaya pemain-pemain UKM FC mampu membawa keputusan positif pulang dari Pasir Gudang bagi mengharung final kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 12 Oktober ini,” katanya yang akan dibantu pembantunya Juzaili Samion mengendalikan pasukan pada aksi di laman lawan malam ini.