KAJANG - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan menipu awal tahun ini.
Tertuduh, Lee Wooi Siong, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.
Mengikut pertuduhan, tertuduh menipu empat individu berusia antara 26 hingga 38 tahun menggunakan nama samaran dengan mengaku sebagai pekerja salah sebuah syarikat.
Menurut fakta kes, tertuduh bersama empat suspek lain melakukan penipuan ‘Fly By Night’ dengan membuat tempahan barang seperti tayar, minyak hitam dan bateri dari syarikat pembekal seluruh negara menerusi panggilan telefon.
Tertuduh memperdaya syarikat berkenaan dengan memberi resit pembayaran palsu kemudian mengaku sebagai wakil dari syarikat pembeli dan mengarahkan mangsa supaya menghantar barang tempahan di tepi jalan atau kawasan terpencil.
Suspek kemudiannya akan mengambil barang tersebut dengan menyerahkan resit pembayaran palsu lalu melarikan diri.
Perbuatan itu dilakukan pada Februari hingga Mei lalu di lokasi berlainan di Hulu Langat dan kawasan perindustrian Balakong.
Jika didapati bersalah bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah kerana bekerja sebagai pemandu lori.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan berjumlah RM2,400 dan sebutan semula kes pada 29 Oktober ini.