KUALA LUMPUR - MCA perlu berkorban dan memberi laluan kepada orang Melayu menjadi calon mewakili pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti.
Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz berkata, MCA perlu memahami strategi tertentu diperlukan sekiranya mahu menang dalam PRK.
"Bila PRU15 nanti, medan untuk berbincang pembahagian kerusi yang lebih menyeluruh boleh dibuat mengambil kira kepentingan semua kaum.
"MCA akan nampak lebih ikhlas kalau memberi laluan kepada calon Melayu dari mana-mana parti dan bekerja bersungguh-sungguh menarik undi kaum Cina yang selama ini ke Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mengambil kira kawasan itu majoritinya orang Melayu, kekalahan MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan beberapa faktor lain, beliau berpendapat calon orang Melayu lebih sesuai dipertaruhkan pada PRK Tanjung Piai.
"Selain itu, semangat kesepakatan Melayu Islam hasil dari Muafakat Nasional, keadaan semasa politik dan lain-lain telah membuktikan bahawa pilihan calon Melayu Islam adalah yang terbaik,” katanya.
PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRK itu pada 16 November depan dengan Hari Penamaan Calon pada 2 November dan 12 November pula merupakan Hari Mengundi Awal.
Badrulhisham berkata, Berjasa juga menggesa satu perbincangan antara semua parti Melayu bersama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat nasional dan tempatan diadakan.
"Duduk semeja dan bincangkan calon dan strategi paling sesuai untuk menjatuhkan PH. UMNO dan Pas kena ikhlas dalam membuktikan Muafakat Nasional bukan hanya untuk mereka berdua tetapi adalah melangkaui dan melibatkan semua orang Melayu.
"Jika tidak, kepercayaan yang diberi oleh orang-orang Melayu pada 14 September lepas akan lebur dan sukar untuk dikembalikan.
"Muafakat Nasional akhirnya akan jadi retorik dan bahan peluru PH jika memilih calon bukan Melayu sebagai calon PRK Tanjung Piai kali ini.
"Ini bukan isu perkauman tetapi strategi yang perlu diguna pakai pada waktu dan situasi tertentu,” katanya.