KUALA LUMPUR - Program subsidi petrol bersasar akan dibayar secara tunai terus ke dalam akaun bank penerima yang layak, bukan menggunakan kad subsidi seperti yang dikatakan sebelum ini.
Menurut sumber, penerima adalah mereka yang berada dalam senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan berdaftar.
Difahamkan sebanyak kira-kira dua juta penerima layak menerima subsidi berkenaan.
"Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengumumkan butiran penuh mengenainya pada Isnin ini,” katanya.
Program yang sepatutnya diumumkan pada suku kedua tahun ini seperti diumumkan sebelum ini mengambil masa kerana beberapa isu.
Antaranya pengumpulan data yang memerlukan penelitian, seperti silang semak, data BSH serta data daripada pelbagai agensi dan jabatan berkaitan.
KPDNHEP juga telah selesai membuat kajian dan libat urus dengan pemegang taruh atau stake holder, syarikat pembekal petrol, syarikat kewangan serta pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan kepenggunaan.