KUANTAN - Pas Pahang mendesak Lembaga Pengarah Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Rompin mengkaji semula keputusan penutupan institusi itu dengan mengambil kira semua faktor untuk jangka panjang.
Ketua Dewan Pemuda Pasnya, Mohd Zakhwan Ahmad Badaruddin berkata, penutupan itu adalah langkah terkebelakang dan sangat merugikan rakyat di negeri Pahang khususnya di kawasan Pahang Tenggara dan Selatan.
"Kita terkilan dengan keputusan pihak pentadbiran khususnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini yang tidak mengambil kira tanggungjawab sosial korporat (CSR) ketika membuat keputusan itu.
"TNB sebagai antara gergasi GLC kerajaan sewajarnya tidak terlalu memikirkan keuntungan semata-mata dalam setiap tindakan dan keputusan.
"TNB perlu menjadi pemain utama membantu membangunkan negara dan rakyat khususnya dalam sektor pendidikan tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Jelasnya, penutupan Uniten bukan solusi terbaik menyelesaikan isu kos dan kekurangan penuntut di kampus terbabit sebaliknya perlu diuruskan dengan lebih kompeten dengan mengambil kira kepentingan setempat dan kesan jangka masa Panjang.
"Uniten dicadangkan untuk menggiatkan promosi dan menggalakkan penyertaan golongan muda setempat khususnya di Pahang Timur dan negeri-negeri Pantai Timur.
"Promosi ini penting bagi membolehkan mereka berminat mengikuti pengajian tinggi dan sederhana yang ditawarkan di Uniten dengan fokus dalam bidang pengurusan, perniagaan, akauntan dan sebagainya," katanya.
Mohd Zakhwan berkata, Uniten yang telah hampir 20 tahun operasinya di Rompin adalah nadi utama dalam menghidupkan sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah.
Tambahnya, bandar ini yang diinspirasikan oleh Tun Abdul Razak untuk menjadi sebuah bandar pendidikan yang memiliki pentadbirannya sendiri sangat membantu dalam pertumbuhan pembangunan dan taraf hidup masyarakat setempat di kawasan Pahang Tenggara dan Selatan.
"Saya yakin penutupan Uniten sudah tentu akan memberi impak yang besar kepada komuniti setempat sekaligus merencatkan kerancakan pembangunan Muadzam Shah menjadi sebuah Bandar Hub Pendidikan," katanya.